Perjuangan Pahlawan Merah tak luntur

A
A
A

KELANTAN komited meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini walaupun dipalit dengan pelbagai masalah termasuk kewangan selain pasukan itu juga belum lagi memulakan sebarang latihan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, Kelantan akan bersedia sepenuhnya dan tidak timbul sebarang isu terutamanya untuk menghadapi perlawanan tertunda menentang UKM FC yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.

“Kita akan terus beraksi dan komited akan meneruskan baki saingan Liga-M musim ini. Memang ada beberapa masalah terutama membabitkan hutang yang sedang membelenggu, tetapi kita sedang berusaha mencari jalan mengatasinya.

“Apa yang penting, kami akan terus beraksi dan melakukan persiapan yang terbaik sebelum saingan liga bermula menentang UKM FC,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

HUSIN DERAMAN
HUSIN DERAMAN

Semalam, Sinar Harian melaporkan keresahan pengendali Kelantan, Yusri Che Lah selepas pasukannya belum lagi memulakan sebarang latihan walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan tarikh untuk menyambung semula saingan Liga-M musim ini pada 26 Ogos.

Dalam pada itu, Husin menjelaskan Kelantan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MFL untuk menyambung semula latihan mulai esok selepas selesai menghantar semula dokumen tambahan yang diperlukan kelmarin.

“Sebelum ini memang ada dokumen yang tidak lengkap, tetapi kami telah menghantar semua dokumen itu semalam (kelmarin). Kami jangka dapat memulakan latihan semula pada Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga telah mengeluarkan surat untuk minta pemain berkumpul Isnin ini. Jika belum dapat kebenaran daripada MFL untuk sambung latihan, mungkin sesi latihan itu akan ditukar menjadi sesi perjumpaan terlebih dulu,” katanya.

Pada masa sama, beliau menafikan khabar angin yang mengatakan salah seorang tonggaknya meninggalkan skuad The Red Warriors.

"Buat masa ini, hanya seorang pemain import dari Korea Selatan, Kang Seung-jo dan pemain lain masih kekal bersama pasukan," katanya.