X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Ilmu statistik janjikan kehidupan lebih baik

DR MOHD UZIR
A
A

SEMAKAN semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia minggu lalu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang mengakui ia mencerminkan realiti ekonomi semasa.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika beliau membentangkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas serta Laporan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak semua orang memahami bagaimana kaedah atau data diambil bagi melengkapkan tinjauan yang mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan itu.

Dalam wawancara khas bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Nurul Huda Husain, Mohd Uzir memperincikan lebih lanjut mengenai kepentingan statistik kepada kemakmuran negara.

SINAR AHAD: Apabila Jabatan Perangkaan diberi tugas untuk mengira semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Malaysia, apakah yang Datuk Seri harap dapat ditemui?

DR MOHD UZIR: Jabatan Perangkaan Malaysia diberi mandat melalui Akta Perangkaan untuk mengeluarkan statistik-statistik yang diperlukan negara. Salah satu tugasnya ialah melihat corak taburan pendapatan.

Selain mengukur pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan pelaburan asing, kita juga ingin melihat corak pengagihan kemakmuran negara dalam konteks isi rumah.

Kita melakukan survey untuk mendapatkan data itu dan ini termasuk survey pendapatan isi rumah dan perbelanjaan isi rumah.

Dalam konteks pembangunan sesebuah negara, kita mahu kekayaan negara dapat diagihkan kepada rakyat dan dalam masa yang sama tingkat harga umum terkawal. Kita bukan sahaja hendak melihat negara yang maju dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi juga sejauh mana kekayaan itu dapat dinikmati oleh semua golongan terutamanya rakyat.

Jadi, bila kita laksanakan survey pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, ia ada roh tersendiri dalam melihat sejauh mana kekayaan negara telah dinikmati rakyat.

Apakah kaedah yang digunakan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam melaksanakan survey ini?

Asasnya kita perlukan instrumen penyiasatan dengan membina sistem kajian secara saintifik. Kita laksanakan secara menyeluruh dan mewakili populasi. Kita ada lebih kurang tujuh juta isi rumah, di bandar, di luar bandar dan di semua daerah di seluruh negara.

Kalau kita hendak melihat keperluan sesuatu isi rumah itu, kita ada satu istilah yang kita panggil Pendapatan Garis Kemiskinan yang kita keluarkan baru-baru ini berdasarkan keperluan hidup semasa. Dalam survey itu, kita beri diari kepada isi rumah untuk mereka mencatatkan keperluan masing-masing dalam dua kategori iaitu makanan dan bukan makanan.

Kita memerlukan lebih kurang 146 item untuk memperoleh tahap kehidupan yang optimum, berkualiti dan sihat berbanding sebelum ini. Dalam hal kemiskinan ini, kita ada kemiskinan mutlak iaitu orang yang berpendapatan RM2,208 manakala satu lagi miskin tegar iaitu lebih kurang RM1,169 sebulan.

Kita buat kajian menggunakan kaedah-kaedah yang diguna pakai di peringkat antarabangsa dan pastinya apabila kita memilih sampel-sampel dalam kajian ini ia perlu mewakili tujuh juta isi rumah di Malaysia.

Dr Mohd Uzir (kanan) ketika wawancara khas Sinar Ahad di Pejabat Perangkaan Malaysia di Putrajaya.
Dr Mohd Uzir (kanan) ketika wawancara khas Sinar Ahad di Pejabat Perangkaan Malaysia di Putrajaya.

Mengapakah statistik ini dianggap penting dan membantu hala tuju negara khususnya bagi membuat perancangan atau tindakan?

Statistik adalah perkara yang hidup, perlu seiring keperluan semasa dan mesti menggunakan instrumen yang telah kita bina bagi memastikan hasilnya nanti dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh semua pihak.

Maknanya di peringkat pembentukan polisi, orang ramai dan bahkan majikan atau pengusaha harus menggunakan angka terkini ini untuk membina kehidupan yang lebih dapat dirasai nikmatnya.

Mengapakah semakan terhadap PGK itu perlu dilakukan dalam tempoh tertentu?

Bila kita katakan PGK, ia tidak statik, jadi kita akan sentiasa buat penilaian untuk kita maklumkan kepada semua terutamanya kerajaan tentang kedudukan PGK ini supaya ia sentiasa menepati senario semasa apabila ada sesetengah barangan yang dahulu dianggap mewah seperti data internet dan televisyen berbayar tetapi sekarang ia dianggap suatu keperluan.

Prinsip paling penting dalam statistik adalah data perlu berintegriti, menggunakan teknik dan kaedah terkini dan dilaksanakan secara profesional. Alhamdulillah kajian selama 12 bulan Jabatan Perangkaan membolehkan kita menghasilkan data yang begitu penting untuk semua.

Di Jerman garis pendapatan ditetapkan pada kadar RM5,200 iaitu 999 euro, di Singapura tidak ada sebarang garis kemiskinan rasmi dikeluarkan tetapi ahli ekonomi dan statistik Singapura menetapkan bahawa di sana mereka memerlukan sekitar RM5,300. Bagaimanakah jurang perbezaan yang begitu besar antara PGK Malaysia dengan negara maju yang lain?

Malaysia mengguna pakai cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1990-an iaitu kadar kemisnkinan ditetapkan kurang AS$1 sehari, sebaliknya di negara berpendapatan sederhana kadarnya ialah AS$5.5 sehari, yang kalau kita tukar kepada ringgit lebih kurang RM22 untuk seorang isi rumah.

Kalau 30 hari secara kasarnya sekitar RM500 ke RM600. Dengan angka terkini PGK, sebenarnya kita telah menepati ciri negara berpendapatan sederhana dan ke atas.

Untuk mengatakan Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara lain, itu perbandingan yang tidak sepadan. Sudah pasti keperluan di negara berkenaan berbeza. Misalnya, di negara Eropah keperluan hidup mereka dicorakkan oleh cuaca empat musim. Negara kita tidak begitu. Maknanya, perbandingan sehala tidak boleh dilaksanakan.

Sama juga dengan Singapura, perbandingan sehala tidak boleh dibuat kerana keperluan di sana dan corak kehidupan di negara kita mungkin berbeza. Ia turut dipengaruhi elemen demografi, etnik dan jangka hayat tetapi ramai yang tidak nampak hubungan PGK dengan jangka hayat.

Sepanjang tempoh kajian, apakah jenis kos sara hidup yang paling sukar dikawal dan melonjak naik?

Kalau kita lihat pecahan antara makanan dan bukan makanan, kedua-duanya lebih kurang sama 50:50. Ini menunjukkan kita memerlukan peruntukan perbelanjaan yang boleh memenuhi keperluan sekarang.

Misalnya, oleh sebab kita dah capai tahap negara berpendapatan sederhana dan sedang bergerak ke arah menjadi negara maju, maka nilaian margin setiap ringgit itu berbeza dari dahulu dan corak permintaan terhadap sesuatu barang juga lebih dicirikan kepada keperluan minimum.

Saya beri contoh mudah, kalau seseorang mahu bercuti, dia perlukan sejumlah wang. Dalam kehidupan sekarang, jarang kita dengar orang yang tidak suka mengembara kecuali dalam segmen tertentu. Tetapi secara umumnya, setiap tahun sudah jadi satu keperluan untuk orang travel dan ini melibatkan kos minyak dan sebagainya. Jadi inilah antara sebab mengapa nilaian PGK lebih bersifat memperihalkan keperluan semasa berbanding dulu yang lebih kepada keperluan asas sahaja seperti pakaian dan makanan. Sebaliknya sekarang mereka memerlukan kemudahan internet dan lain-lain.

Adakah wujud jurang pendapatan antara generasi di Malaysia, siapakah yang lebih kaya, orang tua atau orang muda?

Secara umumnya, kejayaan seseorang bergantung kepada faktor di mana dia bermula. Suatu masa, kanak-kanak diminta belajar rajin-rajin sampai masuk universiti dan kemudian mendapat kerja yang bagus.

Memanglah kita sering andaikan orang yang berpendidikan tinggi biasanya akan memperoleh kehidupan yang lebih selesa, mempunyai harta dan sebagainya. Apabila mencapai usia tua pula, dia sudah berupaya memiliki aset dan menikmati hasil usaha semasa mereka muda. Itu teori secara umum.

Tetapi ada banyak juga kejayaan di peringkat pertengahan malah ada yang berjaya pada mulanya namun gagal di peringkat akhir, namun kita tidak boleh lari daripada teori umum bahawa kejayaan mesti berpaksikan kepada pendidikan, jenis pekerjaan dan sebagainya. Boleh dikatakan fasa produktif rakyat Malaysia biasanya antara umur 15 tahun hingga 64 tahun.

Ia juga bergantung kepada persekitaran di mana kita berada serta faktor peluang yang ada. Orang yang ada sesuatu kelayakan boleh berjaya di negara kita tetapi tidak di negara lain. Oleh sebab itu, amat sukar untuk kita menyimpulkan golongan tua lebih kaya daripada orang muda.

Apa yang penting ialah seseorang perlu ada kebijaksanaan untuk menyeimbangkan antara keinginan tanpa batas dengan sumber yang terhad. Bagaimana sumber yang terhad tadi dapat dioptimumkan dan membolehkan kita mempunyai lebihan pendapatan yang boleh kita kumpul dalam bentuk pembelian harta, aset dan sebagainya.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an semasa menyusun statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, saya dapati dulu Malaysia antara negara yang rakyatnya menyimpan wang yang agak tinggi.

Pada masa itu mereka jarang pergi bercuti. Mereka sanggup tidak bercuti kerana kerja. Tapi sekarang orang akan memilih makan angin lebih daripada kerja. Ada sesetengah orang muda sekarang sanggup berhenti kerja semata-mata kerana hendak melancong.

Ini trend terkini sekarang. Kita sedang mengalami ekonomi gig di mana orang muda tidak lagi mahu terikat dengan majikan. Trend ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Dr Mohd Huzir berkata, Kejayaan program Banci 2020 ini penting kerana kita sedang menghadapi persekitaran yang memerlukan kerajaan merangka polisi dengan tepat berteraskan maklumat yang komprehensif dan lengkap.
Dr Mohd Huzir berkata, Kejayaan program Banci 2020 ini penting kerana kita sedang menghadapi persekitaran yang memerlukan kerajaan merangka polisi dengan tepat berteraskan maklumat yang komprehensif dan lengkap.

Jabatan Perangkaan sibuk membuat bancian penduduk dan perumahan di Malaysia. Sebagai Pesuruhjaya Banci, bagaimana Datuk Seri melihat Banci 2020 ini?

Kejayaan program Banci 2020 ini penting kerana kita sedang menghadapi persekitaran yang memerlukan kerajaan merangka polisi dengan tepat berteraskan maklumat yang komprehensif dan lengkap.

Saya selalu tekankan apa what’s next (apa seterusnya) selepas banci. Apakah manfaat banci ini kepada umum? Sebenarnya banci ini adalah daripada rakyat dan akhirnya diterjemahkan kepada rakyat. Itu sebab data anda adalah masa depan kita.

Rakyat harus melihat banci ini sebagai kepunyaan bersama, cuma jabatan mengetuai pelaksanaannya bersama kerajaan negeri. Bagi saya, inilah peluang orang ramai menyuarakan keperluan menerusi 108 soalan dalam banci itu, meliputi keperluan pendidikan, kesihatan, perlakuan sosial, hubungan dengan jiran, jarak dari rumah ke tempat kerja, kemudahan awam dan lain-lain.

Jadi proses bancian ini akan merangkumi suara seluruh rakyat Malaysia dan kita boleh analisis nanti berdasarkan keperluan kumpulan masing-masing seperti keperluan warga emas dan orang kelainan upaya. Kita juga akan tahu demografi dan keperluan khusus penduduk di lebih 160 daerah.

Banci 2020 ini saya sifatkan sebagai kesempatan emas kerana berlaku 10 tahun sekali. Orang ramai yang tidak memberi kerjasama ataupun tidak menjawab dengan betul, mereka akan terlepas peluang ini.

Sebenarnya, kita berjaya sekarang disebabkan ibu ayah kita membantu menjayakan banci-banci terdahulu menyebabkan angka-angka itu dapat digunakan dan kita laksanakan dalam membentuk dasar-dasar kerajaan selain digunakan pihak swasta dalam merancang aktiviti ekonomi.

Tahun ini asalnya ada 75 buah negara yang akan melaksanakan banci tetapi disebabkan Covid-19, cuma tinggal 12 negara yang mampu menjalankannya.

Malaysia adalah antara negara yang berkeupayaan tinggi kerana fasa satu banci ini laksanakan secara e-Census. Ini bermakna sesiapa sahaja yang ada kemudahan internet boleh mengisi borang soal selidik mengikut kesesuaian masa masing-masing.

Saya melihat negara-negara yang melaksanakan banci ini seolah-olah sedang mempersiapkan perisai tetapi bukan dengan kapal perang sebaliknya mengukuhkan ekonomi dan sosial masing-masing menggunakan maklumat daripada bancian tersebut. Walaupun kos banci ini tinggi, setiap negara sanggup melaksanakannya kerana banci boleh memberikan data asas yang komprehensif.

Dulu banci kita buat secara manual pergi dari rumah ke rumah, sekarang secara e-Census. Boleh Datuk Seri jelaskan rasionalnya?

Kita telah melabur untuk membangunkan sistem e-Census ini dan ia dapat dipulangkan balik dalam bentuk mengurangkan penggunaan kaedah temu ramah bersemuka bermula 7 Oktober nanti.

Buat masa ini kita sasarkan lebih kurang 30 peratus isi rumah tapi saya jangka kalau kita bergerak bersama, kita boleh capai lebih. Tapi memanglah masih ramai yang terbiasa apabila banci, mesti ada orang datang rumah. Namun, e-Census itu sebenarnya lebih mudah dan mengikut kesesuaian kita.

Misalnya, kalau temu ramah bersemuka rumah ke rumah itu kita kena bercakap dalam satu jam 45 minit. Tetapi kalau isi sendiri e-Census sambil minum-minum kopi itu lebih santai.

Saya berpendapat usaha mengisi e-Census sebagai aktiviti kekeluargaan, banyak maklumat di situ yang kadang-kadang si suami tidak tahu, isteri atau anak-anak tahu. Sebagai contoh, isteri mungkin lebih tahu berapa kerap lori datang kutip sampah atau berapa kerap masalah bekalan air dan elektrik berlaku.

Banci kali ini juga lebih lama. Asalnya dulu banci e-Census ini dari 7 Julai hingga 24 Julai iaitu kira-kira tiga minggu tetapi akibat pandemik Covid-19, tarikhnya diubah sehingga 30 September dan diikuti dengan pelaksanaan temu ramah bersemuka pada bulan Oktober.

PROFIL

Nama: Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Jawatan: Ketua Perangkawan Malaysia

Umur: 54 tahun

Mula menjawat jawatan: 2017

Pengalaman: 31 tahun

Pendidikan: PhD dalam Ekonomi di University of Sheffield, United Kingdom


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!