Upah pekerja Malaysia rendah berbanding negara maju

Pekerja sektor minyak dan gas di Malaysia didapati menerima kadar upah lebih tinggi iaitu sebanyak 80 peratus kerana bidang itu memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan profesional. Gambar kecil: Mohd Uzir
Pekerja sektor minyak dan gas di Malaysia didapati menerima kadar upah lebih tinggi iaitu sebanyak 80 peratus kerana bidang itu memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan profesional. Gambar kecil: Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Pekerja di Malaysia terutama dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan didapati menerima kadar upah yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak 30 peratus sahaja berbanding perolehan majikan-majikan mereka.

Hanya pekerja sektor minyak dan gas didapati menerima kadar upah lebih tinggi iaitu sebanyak 80 peratus berbanding pekerja biasa kerana sektor tersebut memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan profesional.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada RM100 perolehan yang diterima oleh majikan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan di negara ini, pekerja akan menerima kadar upah sebanyak RM36.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan negara-negara maju, daripada RM100 perolehan yang diterima majikan, pekerja menerima kadar upah sebanyak RM60.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keadaan itu berlaku kerana kadar upah rendah yang diterima oleh pekerja di Malaysia berpunca daripada penggunaan sumber manusia yang tinggi berbanding negara maju.

“Contohnya, sebuah restoran di negara kita jika dibandingkan dengan restoran negara Eropah, di mana saiz restoran yang sama, tetapi oleh kerana mereka (di Eropah) menggunakan teknologi automasi, misalnya, mereka tidak perlu bilangan pekerja yang ramai.

“Jadi majikan boleh bayar gaji dan upah yang tinggi tetapi di Malaysia perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Ahad di Putrajaya baru-baru ini.

Mohd Uzir berkata, penggunaan teknologi dan automasi membolehkan negara maju membayar kadar upah yang tinggi kepada pekerja, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti pekerja di negara-negara terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, kita dapati di negara maju mereka punya rasa kebanggaan untuk bekerja walaupun hanya kolar biru. Mereka bangga dengan pekerjaan mereka sebab mempunyai pulangan (gaji) yang mencukupi untuk kehidupan.

“Meskipun mereka bekerja di luar daripada keselesaan penghawa dingin di pejabat, tapi mereka bangga dengan kerja yang dilakukan sebab manfaat perkongsian perniagaan selain tahap perolehan dan upah yang diberikan itu memenuhi keperluan semasa mereka,” katanya.Naik 40 peratusPada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mengeluarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2019 yang menyaksikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Malaysia telah disemak kepada RM2,208.Laporan tersebut mendedahkan pendapatan penengah tumbuh sederhana pada 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 sebulan pada tahun 2019, manakala pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901 sebulan.Tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional, manakala Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan dapatan kajian tersebut, sasaran untuk meningkatkan kadar upah dalam negara boleh ditingkatkan sebanyak 40 peratus berbanding 30 peratus pada ketika ini.

“Jadi dapatan kajian terkini yang kita keluarkan berdasarkan kaji selidik pendapatan isi rumah dan kaji selidik perbelanjaan isi rumah membolehkan pihak kerajaan dan swasta melihat satu panduan, maknanya kena ada rasa ingin membantu.“Misalnya, jika seseorang itu diberi satu upah yang sesuai, dia akan meningkatkan produktiviti. Maknanya, kita boleh bayangkan si A mendapat upah yang membolehkan dia menyara kehidupan selesa berbanding si B yang melakukan kerja yang sama tapi tidak mendapat upah yang selesa.

“Ini menyebabkan si B berlumba-lumba mencari peluang lain menyebabkan dia tidak fokus pada kerja yang sepatutnya dia fokus, manakala si A yang dapat lebih daripada yang diperlukan iaitu RM2,208 tadi menyebabkan dia menyumbang balik kepada prestasi syarikat.“Dia merasakan rasa sayang dan kebersamaan, maknanya dia akan menggerakkan kuasa pasaran untuk menilai kehidupan berdasarkan angka terkini,” ujarnya. Bagaimanapun, ujar beliau, usaha untuk meningkatkan kadar upah itu tidak boleh dibuat secara serta-merta sebaliknya secara sistematik.

“Mungkin dengan adanya angka itu, ia akan menghasilkan satu senario semua bergerak. Saya hendak lihat balik dari segi apa yang dilaksanakan negara dalam memperkenalkan pelaksanaan digital ekonomi IR 4.0 itu sebenarnya bertujuan menggerakkan ekonomi kepada negara yang berpendapatan tinggi.

“Jadi bila kita kata negara berpendapatan tinggi, pendapatan tinggi mestilah ada pada pekerja itu dan akhirnya akan diterjemahkan kepada pendapatan isi rumah,” jelas beliau.