Kritikan berbaur Islamofobia terhadap Turki

Ribuan umat Islam menunaikan solat berjemaah di luar Hagia Sophia pada 10 Julai lalu sebagai meraikan keputusan kerajaan Turki menukar status muzium kepada masjid. - AFP, gambar kecil: ABDUL HADI
Ribuan umat Islam menunaikan solat berjemaah di luar Hagia Sophia pada 10 Julai lalu sebagai meraikan keputusan kerajaan Turki menukar status muzium kepada masjid. - AFP, gambar kecil: ABDUL HADI
A
A
A

PUTRAJAYA - Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan keprihatinan beliau berhubung kontroversi negara-negara Barat memprotes keputusan kerajaan Turki menukar semula peranan Hagia Sophia daripada muzium bersejarah kepada masjid.

Beliau berpendapat, para pemimpin Barat seharusnya tegas menyokong sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

Menurut Abdul Hadi, protes para pemimpin Barat itu jelas memperlihatkan negara-negara yang menentang masih dibelenggu Islamofobia ciptaan mereka sendiri.

“Adapun Hagia Sophia menjadi masjid sebelum ini dan kemudian berubah sekali lagi menjadi muzium oleh pemerintah Turki yang diketuai Kemal Artartuk, seorang sekularis yang mahu membuktikan pemisahan politik dalam amalannya daripada Islam sehingga memaksa azan ditukar ke dalam bahasa Turki.

“Namun, umat Islam di Turki kini telah kembali kepada amalan Islam sebenar. Ia bertepatan dengan langkah mengembalikan peranan Hagia Sophia sebagai masjid,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di sini semalam.

Beliau berkata, di sebalik protes oleh negara-negara Barat berhubung pertukaran status Hagia Sophia, mereka tetap berdiam diri terhadap tindakan Zionis yang merencana untuk merebut dan merobohkan Masjid Al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat pertama bagi orang Islam.

“Begitu juga dengan ribuan masjid Islam yang dimusnahkan dan dirampas di Sepanyol termasuk di Cordova dan lain-lain lokasi seperti Masjid Babri di India,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pekarangan Hagia Sophia di kota Istanbul, Turki. Erdogan memuatnaik ciapan di Twitternya mengenai status Hagia Sophia diubah kepada sebuah masjid pada 10 Julai lalu.
Pekarangan Hagia Sophia di kota Istanbul, Turki. Erdogan memuatnaik ciapan di Twitternya mengenai status Hagia Sophia diubah kepada sebuah masjid pada 10 Julai lalu.

Abdul Hadi turut menerangkan tentang sejarah Hagia Sophia yang pada mulanya dibina sebagai katedral atau Gereja Kristian Ortodoks pada tahun 532 hingga 537 Masihi di bawah arahan Maharaja Byzantium, Justinian I.

“Ia direka oleh dua orang arkitek Isidore of Miletus dan Anthemius of Tralles. Hagia Sophia menjadi gereja utama di Constantinople selama hampir 1,000 tahun. Constantinople menjadi ibu kota maharaja setelah mereka berundur dari Syria dan menyerah kepada pasukan Muslim pada zaman Khalifah Umar al-Khattab RA.

“Pada masa itu, mereka menolak tawaran perdamaian melalui surat Rasulullah SAW. Sebaliknya, merekalah yang mengumpulkan tentera yang besar untuk mencapai tujuan mereka untuk menghancurkan Islam kerana pengaruh Islam semakin meningkat dalam kalangan orang mereka sendiri,” katanya.

Jelasnya, pada tahun 1453, setelah kejatuhan Constantinopel kepada kerajaan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad al-Fatih telah menitahkan agar bangunan tersebut diubah menjadi masjid.

“Segala alatan dan unsur-unsur agama Kristian dikeluarkan sementara lukisan di dindingnya ditampal. Kesemuanya diganti dengan ciri-ciri Islam seperti mimbar dan empat menara.

“Hagia Sophia mengekalkan fungsinya sebagai masjid sehingga tahun 1935 dengan peranannya ditukar menjadi muzium oleh pemerintah republik Turki. “Selama hampir 500 tahun, ia menjadi masjid utama di Istanbul dan model untuk masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul),” katanya.

Katanya, catatan sejarah menunjukkan orang Islam membeli bangunan Hagia Sophia pada harga berpatutan ketika itu dan pemilik gereja bersetuju untuk menjualnya.

“Terdapat dokumen bertulis Sultan Muhammad al-Fatih membayar harga membeli dengan wang sendiri dan penyumbang lain tanpa mengambil wang daripada mana-mana negeri,” katanya.