DBP harapan rakyat

A
A
A

PADA 22 Jun 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut ulang tahun ke-64 kira-kira seusia dengan kemerdekaan negara. Sasterawan Negara, Datuk Baharudin Zainal atau Baha Zain sering mengulang-ulang kenyataan testimonialnya bahawa Malaysialah satu-satunya negara yang memiliki sebuah institusi yang selengkap DBP.

Beliau selalu berpesan supaya DBP dijaga dengan baik, dibantu mana-mana yang patut, sebagai tanda sayangnya beliau pada institusi kebudayaan yang unik itu.

Baha Zain mempunyai kapasiti untuk bercakap demikian kerana beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah DBP sebelum bersara tanpa pencen. Katanya, rezeki di tangan Tuhan. Prinsipnya itu menegakkan pendirian bagi membela bangsanya, terutama dalam gelanggang perjuangan bahasa.

DBP sememangnya menjadi sasaran teguran masyarakat apabila timbul isu yang melibatkan pelecehan bahasa oleh pihak-pihak yang enggan menerima hakikat kedaulatan bahasa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Hal itu berlaku apabila bahasa Melayu tidak didaulatkan dalam urusan rasmi, tidak digunakan dengan baik dalam media massa, tidak diamalkan oleh pemimpin negara dan tidak diendahkan oleh pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun pihak swasta.

Begitu juga nasib yang diterima oleh DBP apabila sastera dan pendukungnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sesungguhnya terlalu ramai warga sastera yang bergantung harapan pada DBP sama ada dari segi pengembangan, penerbitan hinggalah pemasaran karya.

Sekiranya DBP tidak dapat memenuhi kehendak warga sastera ini, nescaya berlakulah ‘serangan’ berupa kritikan demi kritikan.

Ini tidak menghairankan kerana DBP memangnya lahir daripada aspirasi rakyat. Bermula dengan Balai Pustaka, DBP kemudiannya diwujudkan hasil daripada rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru pada 16-29 September 1956.

Artikel Berkaitan:

Kongres rakyat yang dipengerusikan oleh Za’ba itu antara lain merumuskan DBP perlu berfungsi untuk menjaga bahasa dan persuratan Melayu ‘supaya tidak mencacatkan asal usul bahasa Melayu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan rakyat Tanah Melayu kelak’.

Sehingga kini, Akta DBP tetap dengan fungsi asalnya di samping beberapa penambahbaikan. Namun begitu, antara objektifnya yang masih tersangkut untuk tujuan penguatkuasaan ialah “...menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.”

Amanah

Sebagai pemikul amanah besar, DBP berhadapan dengan cabaran, iaitu ketiadaan kuasa untuk menghukum pencabar kedaulatan bahasa Melayu.

Menyedari masalah itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan dalam ucapan sambutan Ulang Tahun DBP ke-64 membangkitkan keperluan Akta DBP dipinda bagi membolehkan DBP memiliki kuasa untuk memperkukuhkan kedaulatan bahasa Melayu.

Benarlah, katanya, bahawa pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara akan terus dicabar sekiranya tiada penguatkuasaan dilakukan. Oleh itu, DBP perlu diberi punca kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Tidak kurang pentingnya, DBP perlu diberi peruntukan yang munasabah untuk memenuhi harapan warga sastera yang rata-ratanya hidup dengan semangat kesukarelaan dan sangat mengharapkan bantuan daripada DBP. Janganlah peruntukan DBP dipotong sehingga menghalang mereka untuk membantu persatuan kebudayaan.

Semangat yang dibawa Awang Sariyan telah kembali membenihkan keyakinan masyarakat terhadap DBP sebagai ‘penguasa bahasa’, bukan sekadar pendidik kebahasaan seperti yang termaktub dalam Akta DBP.

Pegawai DBP pernah mempunyai aura yang hebat dan sangat dihormati oleh masyarakat apabila warganya turut mempertahankan bahasa Melayu dalam isu ‘pengingkaran’ janji kerajaan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1967.

Peristiwa yang dikenali sebagai Keranda 152 ini didokong oleh orang kuat DBP termasuk Pengarahnya, Syed Nasir Ismail dan Usman Awang.

Kini, adakah DBP masih relevan bagi negara ini yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran daripada agitator politik yang menggugat keutuhan Perlembagaan Persekutuan?

Jawapannya, ya. Dengan prasarana dan tenaga pakar yang dimiliki oleh DBP, kita sudah boleh meyakini kemampuan institusi itu mendepani cabaran. Kini telah ramai karyawan DBP memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang. Kepakaran yang tinggi itu tentulah dapat memberikan sumbangan yang besar kepada kewibawaan DBP.

Bukan sahaja dalam bidang bahasa, kepakaran dalam bidang sastera juga sudah dapat diukur dengan pemegang ijazah pascasarjananya. Sebahagian besar karyawan DBP sudah memiliki sekurang-kurangnya ijazah pertama di samping ijazah sarjana dan doktor falsafah. Ini suatu perkembangan yang luar biasa jika dibandingkan dengan dekad-dekad terdahulu.

Di samping itu, para pentadbirnya juga memang berasal daripada dalam organisasi yang tentu sahaja mempunyai kefahaman yang tinggi tentang objektif penubuhan DBP. Malahan perdampingan mereka yang mesra dengan warga sastera juga jelas dapat dirasai kerana mereka telah saling mengenali sejak sekian lama.

Perhubungan yang mesra antara karyawan DBP dengan masyarakat dan persatuan yang berkaitan adalah sangat penting. Itulah juga yang diperingatkan Awang Sariyan supaya wujud hubungan simbiotik antara DBP dengan warga kebudayaan.

Semua ini merupakan aset penting bagi DBP demi memastikan objektif penubuhan DBP dapat dilaksanakan secara lebih terancang.

Melihat perkembangan sekarang, kita boleh meletakkan keyakinan pada keberdayaan pentadbir dan pengelola tanggungjawab DBP untuk menunaikan amanah rakyat yang merumuskan idea penubuhannya pada tahun 1956 itu.

Masyarakat umum dan kelompok khusus yang menjadi pemegang taruh DBP sentiasa bergantung harapan pada institusi itu kerana peranannya yang besar sebagai pemanggul senjata budaya (bahasa dan sastera) bagi meneguhkan negara bangsa Malaysia.

Oleh itu, apabila masyarakat sentiasa berpaling kepada DBP apabila timbul suatu ancaman yang menggegarkan negara ini, mereka memang wajar bersikap demikian. Itulah tandanya mereka menyayangi DBP; sebagaimana sentimen yang bertapak dalam jiwa Baha Zain. Dirgahayu DBP.

* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)