Kerajaan alu-alukan pelabur China ke Malaysia

Saifuddin (tengah) dan Keith Lee pada sidang akhbar majlis pembukaan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) Pahang Chapter di Kuantan malam ini.
Saifuddin (tengah) dan Keith Lee pada sidang akhbar majlis pembukaan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) Pahang Chapter di Kuantan malam ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan mengalu-alukan kedatangan usahawan dari China untuk melabur dan berniaga di negara ini khususnya di Malaysia-China Kuantan Industrial Park ( MCKIP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kehadiran mereka diharap dapat meningkatkan pelaburan termasuk dalam bidang telekomunikasi dan multimedia kerana negara itu mempunyai kemajuan yang sangat pesat.

"Menerusi pelaburan dan kemasukan usahawan China ini, kita berhasrat akan berlaku pertukaran teknologi Malaysia-China khususnya kalangan para peniaga. Saya mahu usahawan Malaysia belajar dua perkara daripada usahawan China.

"Pertama mengaplikasikan teknologi di pelbagai peringkat. China tidak terkenal sebagai peneroka teknologi baharu tetapi mereka antara yang termaju dari segi mengaplikasi teknologi-teknologi baharu. Walaupun hanya penjual di jalanan. Itu yang orang Malaysia patut belajar.

"Kedua tentang kemampuan China menginovasikan teknologi dari negara lain dan membangunkan kemahiran teknologi dengan cepat. Mereka belajar dari negara maju dan mereka cepat melakukan inovasi menerusi kemampuan rakyat mereka sendiri. Sebagai contoh teknologi robot dan 'artificial intelligence'. Mereka melakukannya dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) Pahang Chapter di Hotel Zenith di sini malam ini.

Hadir sama, Presiden PUCM, Datuk Keith Li Zhongping; Presiden PUCM Pahang Chapter, Yan Biao dan Penasihat PUCM Pahang Chapter, Datuk Seri Chong Chin Fung.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, PUCM akan menganjurkan satu perjumpaan khas bersama peniaga dan usahawan China bagi membantu memperkenalkan lebih banyak perniagaan dari China berkelas dunia kepada usahawan Malaysia.

"Malaysia hanya kenal beberapa syarikat China yang terkenal tapi sebenarnya ada lagi banyak syarikat yang lebih besar dengan volum lebih besar berada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting untuk syarikat Malaysia mengenali mereka. Saya berharap, kita dapat berniaga dengan negara China dan belajar daripada kemampuan usahawan negara China. Itu satu kemajuan yang amat besar," katanya.