Tanah: Aishah tunggu sehingga hujung Januari

A
A

PENYANYI yang disegani Aishah, masih lagi menanti tanah lot banglo yang dimenanginya selepas bergelar juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 53, menerusi perbincangan yang berlangsung sebelum ini, pihaknya memberi tempoh sehingga ke penghujung Januari ini kepada pihak penaja untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun apa yang dikesalkan, dia tidak akan mendapat sebidang tanah lot banglo, sebaliknya sebidang tanah yang lebih kecil.

"Menerusi perbincangan bersama peguam dan penaja, kita memberi tempoh empat bulan yang sepatutnya berakhir pada penghujung Januari ini untuk diselesaikan.

"Cuma masalahnya sekarang, saya diberitahu tanah itu hanya 2,400 kaki persegi dan ia bukan saiz tanah lot banglo, kerana kalau tanah lot banglo, minima saiz adalah 3,700 kaki persegi.

"Bagaimanapun saya berharap pihak penaja mengotakan janjinya kerana dari awal diuar-uarkan adalah tanah lot banglo dan bukannya tanah lot teres atau lebih kecil dari banglo.

"Bagi saya ini semua adalah berkaitan dengan integriti. Apa yang diperkatakan, kenalah tunaikan. Lagipun saya tak minta lebih dari apa yang dijanjikan dan saya cuma minta pihak penaja menunaikan janji sahaja," katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui baru-baru ini.

Aishah sebelum ini mendedahkan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai program GV4 yang berlangsung pada akhir 2017.

Bukan itu sahaja, dia turut memaklumkan mengenai hadiah tambahan berupa seutas rantai pemberian penaja, Datuk Seri Vida yang didakwa palsu.

Tambah Aishah, biarpun dikecam dan dihina selepas mendedahkan mengenai isu tanah lot terbabit, namun dia tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan haknya.

"Bagi saya, ini adalah satu pengajaran pada semua. Jangan senang-senang buat janji atau uar-uarkan sesuatu yang tidak pasti sebab semua orang boleh berjanji.

"Kalau terus berdiam diri, nanti akan lebih menjadi-jadi.

"Walaupun orang kecam saya, padahal tidak tahu hujung pangkal, saya akan terus memperjuangkan hak saya.

"Harapan saya semua ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan memberi pengajaran," ujarnya.

Ditanya bagaimana sekiranya tidak mendapat tanah dalam tempoh yang ditetapkan, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Janji Manismu ini menjelaskan; "Selain kami memberi tempoh masa, pihak peguam juga sudah menetapkan untuk mereka membayar certain amount yang bersesuaian dengan harga tanah kepada saya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia