Signifikasi pilihan raya Singapura

No Image Caption
A
A
A

Pada 10 Julai lalu, Singapura telah mengadakan Pilihan Raya Parlimen yang ke-14. Terdapat tujuh perkara menarik yang dapat diperhatikan dalam pilihan raya tersebut.

Pertama, ia merupakan kali pertama pilihan raya umum diadakan di Asia Tenggara semasa pandemik Covid-19 terutama keadaan di Singapura masih serius dan kes memuncak.

Pilihan Raya Singapura itu merupakan ‘ujian litmus’ bagi menguji sama ada sesuatu pilihan raya umum dapat diadakan semasa pandemik Covid-19. Kemampuan Singapura mengadakan pilihan raya umum akan menjadi rujukan bagi negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengadakan Pilihan Raya Presiden pada November ini.

Kedua, Covid-19 telah mengubah pengendalian kempen pilihan raya umum. Walaupun lawatan oleh calon-calon ke kawasan perumahan dan pasar masih diadakan tetapi penjarakkan sosial tetap dikuatkuasakan.

Ketiga, pilihan raya Parlimen itu menyaksikan kebangkitan generasi keempat (G4). Perdana Menteri, Lee Hsieng Long, 68, melahirkan hasrat untuk bersara apabila beliau mencapai umur 70 tahun (dua tahun dari sekarang).

Pemimpin G4 terdiri daripada Heng Swee Keat (Timbalan Perdana Menteri), Ong Ye Kung, Chan Chun Sing, Intan Azura dan Fatimah Lateef bakal mengambil alih tampuk pemerintahan politik Singapura. Selain itu, Pilihan Raya Umum Singapura 2020 juga signifikan kerana itulah kali pertama golongan milenial dan generasi Z mengundi.

Keempat, kerajaan Singapura di bawah People’s Action Party (PAP) pimpinan Hsien Long telah menyegerakan pilihan raya walaupun mandat kerajaan adalah sehingga April 2021. Ini merupakan sebahagian daripada percaturan politik.

Singapura diramal mengalami kemelesetan paling serius semenjak kemerdekaannya pada tahun 1965 akibat Covid-19. Malah ada penganalisis menjangka ramai penduduk kehilangan pekerjaan serta perniagaan ditutup. Oleh yang demikian, PAP mahu memperoleh semula mandat supaya ia boleh bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih genting.

Artikel Berkaitan:

Kelima, isu masyarakat pascamaterial seperti perubahan cuaca, alam sekitar, hak minoriti mendapat perhatian khas golongan muda.

Berbanding dengan pilihan raya Parlimen terdahulu, isu-isu seperti kos kehidupan, gaji dan peluang pekerjaan mendapat perhatian. Bagaimanapun, kini disebabkan oleh penyertaan generasi Z dan milenial isu masyarakat pacsamaterial juga mendapat perhatian.

Sejarah

Keenam, pilihan raya itu juga menyaksikan pertarungan hebat antara PAP dengan beberapa parti lawan yang belum pernah dialami dalam sejarah Singapura. Keluarga Hsien Long mengalami perpecahan dan persengketaan secara terbuka sehingga adiknya Lee Hsien Yang menyertai parti lawan, Progessive Singapore Party (PSP) dan berkempen menentang PAP yang dipimpin abangnya serta diasaskan oleh ayahnya, mendiang Lee Kuan Yew.

Di samping itu, PAP juga telah ditentang oleh Dr Tan Cheng Bock, seorang bekas pemimpin dan veteran PAP. Menurut Cheng Bock, PAP sudah kehilangan hala tuju dan beliau mahu membawa pembaharuan kepada Singapura.

Ketujuh, prestasi PAP telah merosot dan memperoleh 61.2 peratus undi popular (kedua terburuk dalam sejarah) berbanding 69.8 peratus pada 2015. Selain itu, daripada 93 kerusi yang dipertandingkan PAP mampu menawan 83 kerusi manakala parti lawan, Worker’s Party (WP), telah memperoleh 10 kerusi berbanding enam kerusi pada 2015. Malah di sesetengah kawasan kubu kuat PAP seperti Bukit Batok, Bukit Panjang, West Coast, calon PAP hanya menang tipis. Jelas parti lawan semakin mendapat sokongan sebagai parti alternatif.

Artikel ini diakhiri dua persoalan iaitu adakah fenomena itu mungkin akan mendorong Hsien Long untuk meneruskan pentabirannya selepas beliau berusia 70 tahun? Dan adakah Pilihan Raya 2020 adalah permulaan berakhirnya era PAP di Singapura? Hanya masa yang mampu menjawab.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya