Peruntukan Sukma dapat maklum balas baik dari EPU

Khuzzan (kiri) bersalaman dengan Mohd Gadaffie pada sidang media berkenaan.
Khuzzan (kiri) bersalaman dengan Mohd Gadaffie pada sidang media berkenaan.
A
A
A

KERAJAAN JOHOR menerima respon yang baik daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) berhubung pembangunan fasiliti dan kemudahan baharu untuk Sukma 2020 akan datang.

Perkara itu merujuk kepada maklum balas Kerajaan Persekutuan mengenai peruntukan disalurkan bagi persediaan Johor sebagai tuan rumah Sukma pada tahun berkenaan.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya bersama EPU juga sudah beberapa kali melakukan tinjauan di semua tapak pembinaan venue baharu yang digunakan Sukma nanti.

“Semalam (kelmarin), saya bersama pihak EPU telah melawat kesemua venue baru Sukma 2020, untuk melihat perkembangan dan status terkini pembinaanya.

“Syukur, kita setakat ini memang mendapat maklum balas yang baik daripada EPU. Namun perbincangan lanjut (berhubung peruntukan Sukma) akan sentiasa dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sidang media pengenalan Majlis Anugerah Sukan Johor (MASJ) 2017, di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah MSN Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz.

Berhubung kemajuan terkini fasiliti berkenaan, Khuzzan berkata, beberapa daripada infrastruktur dan venue utama yang akan digunakan pada temasya sukan itu berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Perkembangannya baik, antara yang utama Arena Larkin, Stadium Mount Austin mungkin boleh siap menjelang Jun ini. Begitu juga dengan Pusat Akuatik Larkin yang sedang dinaik taraf,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, MASJ 2017 akan menyaksikan sebanyak 13 anugerah bakal menjadi rebutan 60 atlet Johor yang dipilih kerana mengharumkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan mahupun antarangsa.

Katanya, acara gilang gemilang yang akan diadakan di Pinewood Studios, Iskandar Puteri, pada Sabtu ini.