Rayuan iktiraf lulusan USIM

A
A
A

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah salah sebuah universiti awam yang menawarkan kursus undang-undang di Malaysia.

Graduan pertama lulusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang (USIM) mula bergraduasi pada 1 September 2010. Walaupun USIM merupakan sebuah universiti awam, malangnya sehingga hari ini graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang USIM masih belum diiktiraf sebagai orang yang layak untuk beramal menjadi seorang peguam bela dan peguam cara.

Hal itu menyebabkan graduan undang-undang USIM tidak boleh memulakan latihan dalam kamar untuk diterima dan didaftar sebagai peguam bela dan peguam cara sebaik sahaja mereka tamat pengajian.

Sehingga hari ini, seramai 521 graduan telah lulus dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang daripada USIM, namun tidak seorang pun diiktiraf sebagai orang berkelayakan menurut Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU).

Graduan itu masih tidak dibenarkan membuat latihan dalam kamar melainkan beberapa orang yang terpaksa mengambil peperiksaan tambahan Sijil Amalan Undang-Undang seperti lulusan dari luar negara.

USIM pula dilaporkan menghantar Laporan Berkala kali ketujuh kepada LKPU, yang terakhirnya pada 1 Jun lalu sebagai memenuhi syarat lembaga itu.

Syarat tambahan yang dikenakan LKPU seolah-olah mengkategori 521 graduan undang-undang USIM yang masih belum diiktiraf setara dengan graduan undang-undang daripada universiti awam lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Graduan undang-undang daripada institusi pendidikan tinggi bukan universiti awam seperti Universiti Multimedia (MMU) juga sudah mendapat pengiktirafan sebagai orang berkelayakan dan boleh memulakan latihan dalam kamar sebaik bergraduasi.

Artikel Berkaitan:

Persoalan kini kenapakah graduan undang-undang USIM masih belum diiktiraf sebagai orang berkelayakan oleh LKPU walaupun pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) sudah memberi akreditasi kepada program ini? Kenapakah MQA di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan LKPU di bawah Jabatan Perdana Menteri membawa pendekatan berbeza dalam pengiktirafan mereka?

Seramai 56 orang graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang USIM terpaksa mendaftar untuk menghadiri Modul Khas Kemahiran dan Latihan Praktikal Profesion Undang-undang sebanyak 64 sesi selama 16 minggu bagi membolehkan mereka menjalani latihan dalam kamar pula. Walaupun telah menyempurnakan lima tahun belajar undang-undang sehingga dianugerahkan ijazah sarjana muda, mereka masih disyaratkan menghadiri 64 sesi modul khas dan mengambil peperiksaan. Subjek dalam modul khas ialah Civil Procedures, Criminal Procedures, Laws of Probate dan Bankruptcy Law.

Oleh itu pelajar undang-undang USIM perlu menghabiskan sekurang-kurangnya lima tahun bagi mendapatkan segulung ijazah undang-undang, 16 minggu latihan praktikal LKPU dan kemudian sembilan bulan latihan dalam kamar sebelum boleh menjadi seorang peguam.

Tempoh melebihi enam tahun yang terpaksa dilalui itu sangat tidak adil kepada graduan tersebut kerana rakan-rakan mereka yang lain tidak perlu menghadapi tempoh panjang yang sama.

Saya telah meneliti kandungan silibus yang ditawarkan USIM bagi kursus perundangan dan mendapati kandungan silibusnya tidak jauh berbeza daripada kursus di universiti lain.

Tambahan mata pelajaran syariah kepada mahasiswa USIM hendaklah dilihat sebagai nilai tambah yang ada pada graduan USIM bukan melihat dari aspek negatif. Graduan perundangan USIM rata-ratanya alumni daripada sekolah agama yang disyaratkan menguasai ilmu perundangan syariah dan bahasa Arab terdiri daripada anak bangsa Melayu kita.

Saya merayu kepada kerajaan agar dapat menyelesaikan kemelut graduan undang-undang USIM. Walaupun sudah 10 tahun bergraduasi tetapi sehingga hari ini mereka masih tidak dibenarkan memulakan latihan dalam kamar. Sudah sampai masanya kerajaan tegas dalam menyelesaikan kemelut itu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia