Ramai sokong pasang kamera had laju

Gambar kecil: Aikal
A
A

PERAI - Rata-rata orang ramai menyambut baik cadangan supaya kamera had laju dipasang di Jambatan Pulau Pinang.

Menyifatkan ia merupakan langkah yang wajar serta perlu, tambahan pula secara langsung sebagai langkah bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

Pengguna, Aikal Abdul Ghani, 29, berkata sememangnya langkah tersebut merupakan antara faktor wajib diambil oleh pihak berwajib.

"Saya menyokong penuh langkah memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang ini, bukan apa, kadang-kadang kereta laju di sini.

"Tak tahu apa yang dikejarnya, memang laju betul, tambahan pada awal pagi, memang bahaya, bukan sahaja kepada pemandu malah kepada pengguna jalan raya lain," katanya.

Pengguna, Danial Mohd, 23, berkata, aspek pemasangan kamera had laju ini sebenarnya perlu dipasang sejak sekian lama dulu lagi.

"Saya sebenarnya nak sangat kalau kamera had laju ni dipasang, bila pasang, baru pengguna tak bawa kenderaan mereka dengan laju.

"Kebanyakan kita lihat, kemalangan semestinya berpunca apabila kenderaan itu dipandu dengan laju, jadi saya amat setuju dengan cadangan ini," katanya.

Terdahulu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.