Dua maut, seorang parah

Keadaan kereta terlibat dalam kemalangan tersebut.
A
A

KULIM - Dua maut, seorang parah dan tiga cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kilang Lama -Mahang (Simpang 4 KHTP 2), di sini 6.27 pagi tadi.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Wira, Muhammad Ghani Abd Razak, 26, dan penumpang Mazidah Sha'ari, 31, dari Taman Mutiara Sungai Kob maut di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Nur Syifa Hanina Mohamad Nasir berusia dua tahun dari Taman Mutiara Sungai Kob parah manakala pemandu kereta Proton Saga hanya cedera ringan.

Ketua Polis Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu dari arah Padang Serai menghala ke Serdang, manakala kereta Proton Wira dari arah Sungai Kob menuju ke Kulim.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan keluar dari simpang.

"Akibat jarak terlalu dekat, berlaku perlanggaran. Kedua-dua kenderaan tidak berhenti ketika sampai di simpang itu.

"Pemandu dan penumpang Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian dan kedua-dua mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

"Punca kematian belum diketahui," katanya.

Kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

Rakaman CCTV juga diambil dan polis turut mengesan saksi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia