'Pejabat' judi online kena gempur

Mazlan (depan) menunjukkan antara peralatan yang dirampas dalam Ops Dadu di Bukit Bintang.
Mazlan (depan) menunjukkan antara peralatan yang dirampas dalam Ops Dadu di Bukit Bintang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian online semakin terdesak apabila menjadikan sebuah premis pejabat sebagai pusat panggilan bagi kegiatan sindiket perjudian online.

Kegiatan yang dipercayai telah aktif sejak dua bulan lalu di Bukit Bintang, di sini itu bagaimanapun berjaya diserbu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Kuala Lumpur bersama Unit IT Forensik Bukit Aman, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Ops Dadu yang dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi ini berjaya memberkas seramai 92 warga asing berusia lingkungan 17 hingga 49 tahun termasuk tujuh wanita.

"Semakan mendapati 90 orang tangkapan ini merupakan warga China dan dua lagi adalah warga Myanmar disyaki berperanan sebagai pengurus, penjaga dan pekerja.

"Polis telah merampas sebanyak 212 buah set komputer, 20 buah komputer riba, sebuah tablet, telefon bimbit (93 unit), router (9 unit) dan sembilan modem yang dianggarkan bernilai RM430,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya percaya sindiket ini menyewa premis pejabat ini sebanyak RM30,000 sebulan.

Katanya, premis yang menjadi sebagai pusat panggilan (calling centre) ini dipercayai mensasarkan pemain judi online di negara China dengan mempromosikannya menerusi laman web dan aplikasi Wechat.

"Sindiket akan menggunakan WeChat untuk mempromosikan permainan judi online. Suspek akan laksanakan tugas dari segi kemasukan wang ke akaun bank, kredit dan saluran website kepada pemain yang tertarik dengan permainan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan dalang sindiket melibatkan dalang warga tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953," katanya.