X

Kindly register in order to view this article
!

Pos kawalan PGA bergerak kawal sempadan negara

Hamzah Zainudin - Foto fail Bernama
A
A

KUCHING - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggunakan pendekatan baharu dalam mengawal sempadan darat negara menerusi pelaksanaan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) secara bergerak.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia merujuk kepada sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak terutama yang mempunyai banyak ‘laluan tikus’ dan sering berubah-ubah.

“Saya perhatikan apabila kita membina pos kawalan PGA di sesuatu kawasan sempadan yang mempunyai laluan masuk ke negara ini, tidak lama selepas itu akan wujud ‘lorong tikus’ baharu yang berubah mengikut kesesuaian pihak di sebelah sana.

“Jadi dengan pelaksanaan pos kawalan PGA secara bergerak ini, saya kira ia lebih mudah untuk pasukan keselamatan kita bergerak dan tentukan di mana pos kawalan bagi mengawal sempadan kita mengikut keadaan semasa,” katanya pada sidang media selepas melawat Sub Taktikal PGA Teluk Melano yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Beliau berkata, kemudahan yang lebih baik untuk PGA di Teluk Melano akan dilaksana di tanah berkeluasan kira-kira empat hektar merangkumi sebuah bangunan, kuarters dan kemudahan jalan raya.

Hamzah juga berkata, sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan dibina dan dijangka siap pada 2020 bagi melengkapi kawasan Teluk Melano yang mengalami transformasi berikutan terdapat akses Lebuhraya Pan Borneo yang bakal menjadi tumpuan kedua-dua negara selain merancakkan lagi sektor ekonomi di sini.

“Terdapat 21 jumlah keseluruhan projek yang telah dan akan dijalankan di Sarawak yang sudah melebihi RM700 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan semua projek itu akan siap menjelang tahun 2020 dan sesudah itu, lengkaplah perjanjian Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak,” katanya.

Beliau juga berkata, dalam perbincangannya bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam, KDN akan meningkatkan keselamatan di pesisiran pantai Sarawak.

“Kita akan tengok secara terperinci cara untuk membantu industri perikanan Sarawak agar ia tidak diganggu oleh nelayan asing yang berjaya membolosi perairannya.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa menitikberatkan Sarawak serta menunaikan janjinya apabila kita mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan pusat,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!