Lapan sukan kemuka rayuan penyertaan Sukan SEA 2021

Reezal Merican (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-193 di Wisma MOM di Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
Reezal Merican (tengah) hadir merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-193 di Wisma MOM di Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEBANYAK lapan persatuan sukan kebangsaan telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi disertakan dalam Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan.

Lapan sukan berkenaan adalah sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan ragbi tujuh sebelah.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua permohonan tersebut akan dibawa oleh wakil MOM sewaktu sesi maya bersama ahli Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 21 dan 22 Julai ini.

Beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib untuk mendapatkan senarai penuh sukan daripada persatuan sukan kebangsaan yang bercadang membuat rayuan kepada MOM.

“Mengikut anggaran kasar, berdasarkan cadangan (jenis sukan) dari Vietnam, kita akan kehilangan lebih kurang 18 pingat emas, jika dibandingkan dengan penyertaan kita pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kalau dibezakan dengan edisi 2017, kita akan kehilangan 40 emas,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193 di Wisma OCM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza tidak menolak kemungkinan bahawa lebih ramai atlet muda dan pelapis, akan dihantar bertanding pada Sukan SEA 2021 namun tertakluk kepada perbincangan bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, serta persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan penglibatan lebih ramai atlet muda atau pelapis adalah sebagai medan pendedahan sebelum mereka berdepan temasya sukan yang lebih besar termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Artikel Berkaitan:

Vietnam dilaporkan bercadang menganjurkan 36 sukan melibatkan 450 acara pada edisi ke-31 dari 21 November hingga 2 Disember depan.

Malaysia menduduki tempat kelima pada Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi kutipan 56 emas, 58 perak dan 71 gangsa dalam 52 daripada 56 acara keseluruhan. - Bernama