Johor ditawar eksport produk makanan ke Singapura, UAE

Hasni (kiri) beramah mesra dengan penerima Notis 5A selepas Majlis Penyampaian Notis 5A Felda Tenggaroh Timur 1 di Mersing hari ini.
Hasni (kiri) beramah mesra dengan penerima Notis 5A selepas Majlis Penyampaian Notis 5A Felda Tenggaroh Timur 1 di Mersing hari ini.
A
A
A

MERSING - Johor ditawarkan untuk membekalkan produk makanan ke Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sehubungan itu berkata, produktiviti bahan makanan di negeri ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan bekalan mencukupi selain menepati standard dan piawaian antarabangsa.

"Baru-baru ini kita 'dipinang' beberapa buah negara seperti Singapura dan UAE untuk membekalkan produk-produk makanan kepada mereka.

"Saya berharap kita ambil peluang ini dan meneroka bidang makanan sebagai pertumbuhan ekonomi baharu bagi negara kita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Notis 5A Felda Tenggaroh Timur 1 kepada 192 peneroka di Dewan Orang Ramai Felda Tenggaroh Timur 1 dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar.

Sementara itu, Hasni berkata, sektor pertanian dan akuakultur di daerah ini dan Segamat perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan tinggi pelabur asing khususnya dari Singapura.

Kerajaan Johor, katanya, akan cuba mewujudkan persefahaman dengan negara-negara yang memerlukan produk-produk keluaran negeri ini.

"Mersing dan Segamat mempunyai potensi yang luas. Kerajaan Johor akan memberikan tumpuan untuk meningkatkan program bantuan kepada petani dan nelayan, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kerajaan Persekutuan telah meningkatkan garis kemiskinan kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah. Justeru kita perlu meningkatkan pendapatan golongan petani dan nelayan bagi memastikan mereka berada di atas paras kemiskinan," katanya.