Pertimbang senarai hitam pemilik bot 'ali baba' permit

Ismail (kanan) mendengar taklimat diberikan oleh Kapten Sufi yang mengendalikan aset Bombardier CL415 MP ketika turun padang meninjau rondaan di udara di Kuala Terengganu hari ini. Hadir sama, Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Mohamed (tengah).
Ismail (kanan) mendengar taklimat diberikan oleh Kapten Sufi yang mengendalikan aset Bombardier CL415 MP ketika turun padang meninjau rondaan di udara di Kuala Terengganu hari ini. Hadir sama, Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Mohamed (tengah).
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kerajaan mempertimbangkan hukuman tegas dengan menyenarai hitamkan rakyat tempatan yang didapati memberi atau menyewakan lesen bot mereka kepada warga asing untuk menangkap ikan di perairan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, hukuman membatalkan lesen atau permit seperti diamalkan kini tidak lagi efektif kerana pemilik masih boleh memohon lesen atau permit baharu.

"Kita melihat kesalahan ini sebagai sesuatu yang amat serius kerana boleh menjejaskan pendapatan dan tangkapan nelayan tempatan serta sumber perikanan negeri.

"Kerajaan tidak mahu ada nelayan 'ali baba' yang bertindak menyewakan lesen kepada bot nelayan asing dan membiarkan mereka memanipulasi industri perikanan dan penangkapan ikan di perairan negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu di sini hari ini.

Selain itu, Dr Ismail berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan mengenakan hukuman sebat ke atas nelayan asing yang didapati melakukan pencerobohan perairan negara.

Katanya, hukuman sebat dilihat lebih efektif kerana dapat menakutkan pesalah agar tidak mengulangi kesalahan sama berbanding hukuman denda.

Ketika ini, hukuman dikenakan ialah denda RM500,000 bagi awak-awak dan RM6 juta terhadap tekong selain penjara antara enam bulan dan setahun.

Dalam perkembangan lain, Dr Ismail berkata, APMM merekodkan sebayak 26 kes tangkapan bot nelayan asing Vietnam meliputi 21 tangkapan di perairan pantai timur Terengganu, selain tiga kes di perairan Sabah dan dua di perairan Sarawak sejak Operasi Kuda Laut (Ops Kuda Laut) dilancarkan pada 24 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes terbaharu membabitkan dua bot nelayan Vietnam yang ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar 134 batu nautika dan 134.5 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM3 juta pagi tadi.