X

Kindly register in order to view this article
!

Chelsea waspada helah United

Lampard menuntut anak-anak buahnya lebih fokus ketika menentang United di Wembley awal pagi esok.
A
A

Pengendali Chelsea, Frank Lampard menganggap Manchester United mempunyai kelebihan menjelang aksi separuh akhir Piala FA di Wembley awal pagi Isnin ini apabila mendakwa teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) lebih banyak memihak kepada The Red Devils.

Justeru, Lamparad telah mengingatkan barisan pertahanannya supaya lebih berhati-hati dan bijak menghadapi helah pemain United terutama dalam kawasan penalti.

"Pemain-pemain saya perlu berhati-hati kerana jentera serangan Manchester United memiliki kemampuan yang tinggi, mereka pantas dan sering nampak seperti dijatuhkan dalam kotak penalti.

"Tengok saja bagaimana Bruno Fernandes berlakon seperti dia dijatuhkan.Tetapi, dia sebenarnya yang memijak kaki pemain lawan. Jadi saya telah nasihatkan pemain supaya sentiasa berwaspada dengan perkara tersebut.

"Masalah akan selalu terjadi kerana VAR juga dinilai oleh manusia dan mereka juga perlu membuat keputusan. Namun, beberapa keputusan yang telah dibuat adalah salah dan mereka tidak menilainya kembali. Manchester United menjadi pasukan yang banyak mendapat untung kerana VAR ini," katanya.

Sebagai rekod, United muncul pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang paling banyak mendapat 'manfaat' daripada VAR musim ini dengan catatan tujuh secara keseluruhannya.

Dalam masa sama, Lampard turut menegaskan pertembungan separuh akhir Piala FA itu nanti bukanlah medium untuknya membalas dendam selepas tewas tiga kali kepada United musim ini.

Dalam saingan EPL, Chelsea mengalami kekalahan 0-4 dan 0-2 dan skuad The Blues itu sekali lagi terpaksa akur tewas 1-2 kepada United pada pusingan keempat Piala Liga.

"Saya tidak memikirkan tentang dendam, saya hanya mahu menang. Kami mempamerkan aksi baik dalam Piala Liga. Kami tampil sebagai pasukan berbeza dan beraksi dengan baik, tetapi tetap tewas.

"Dalam aksi liga pula, kami mengharungi babak pertama yang bagus, tetapi terlepas peluang untuk menjaringkan gol dan pasukan lawan (United) memanfaatkannya," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!