Kempen 'Elak Sembang Dekat' bendung gelombang kedua Covid-19

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) menyaksikan majlis penyerahan replika kunci klinik sempena Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) menyaksikan majlis penyerahan replika kunci klinik sempena Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat melaksanakan kempen 'Elak Sembang Dekat' dalam usaha mengekang gelombang kedua wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kempen itu perlu bagi mendidik orang ramai supaya mengelakkan bersembang dengan jarak dekat kerana titisan daripada individu lain boleh terkena tubuh orang lain sehingga jarak sejauh satu meter.

“Sekiranya terlalu dekat, titisan tidak dapat disekat dan akan sampai ke tubuh orang lain dengan lebih mudah dan pantas (dan membimbangkan) lebih-lebih lagi mereka yang bergejala.

“Kini sembang dekat menyebabkan banyak berlaku gelombang kedua penularan Covid-19 di dunia,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, keengganan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 membuat ujian dan mereka yang pulang dari luar negara tanpa mengetahui telah dijangkiti merupakan antara faktor lain yang menyebabkan gelombang kedua wabak itu di negara ini namun beliau tidak menghuraikan secara lanjut

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka mengumumkan harga baharu pelitup muka yang lebih munasabah dalam masa terdekat.

Katanya, harga baharu bagi pelitup muka itu kemungkinan akan berkuatkuasa bermula 10 Ogos ini namun harga siling bagi pelitup muka setakat ini masih dijual RM1.50 sekeping.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat usaha mengurangkan beban kos ibu bapa dalam menyediakan pelitup muka untuk anak-anak mereka ke sekolah setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Dr Adham berkata, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di sekolah kerana langkah utama bagi mengelakkan gelombang kedua penyebaran wabak Covid-19 adalah dengan mengutamakan jarakan sosial namun pelajar sekolah yang mampu digalakkan memakainya.

Tambahnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melancarkan kempen Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP) di Pagoh, Johor pada 8 Ogos ini bagi mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan menjadi benteng hadapan dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat, daripada penularan Covid-19.

Katanya, CAPP merupakan satu pendekatan bagi memperkasa Program Pengurangan Risiko Daerah Covid-19 yang bertujuan melindungi daerah hijau agar terus bebas jangkitan wabak itu dan menukar daerah kuning kepada daerah hijau dalam tempoh 14 hari. - Bernama