'Jawatan Pengerusi jadikan Bersatu ada dua nakhoda'

Jawatan Pengerusi Bersatu sebelum ini disandang Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau mengundur diri dan meletak jawatan pada 24 Februari lalu.
Jawatan Pengerusi Bersatu sebelum ini disandang Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau mengundur diri dan meletak jawatan pada 24 Februari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak diperlukan jika bertindih kuasa dengan Presiden parti.

Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Senator Datuk Isa Hamid berpendapat, sekiranya kedua-dua jawatan itu wujud dalam sebuah parti, dibimbangi Bersatu seperti mempunyai dua nakhoda dalam sebuah kapal.

"Kalau mahu elak pertindihan kuasa antara Pengerusi dan Presiden parti. Sekiranya jawatan Pengerusi Bersatu perlu dibuang, perkara ini perlu dibahaskan secara mendalam dengan merujuk perlembagaan parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Pengerusi Bersatu mungkin digugurkan

"Bagi saya lebih elok ada satu sahaja sama ada Pengerusi atau Presiden. Kedua-dua jawatan ini wujud dalam banyak entiti bukan sahaja parti politik namun kita kena lihat peranannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau mengulas desas-desus kemungkinan perwakilan akan mengemukakan usul bagi membuang jawatan Pengerusi daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada perhimpunan agung tahunan parti itu pada September ini.

Jawatan Pengerusi sebelum ini disandang Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau mengundur diri dan meletak jawatan pada 24 Februari lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti memangku jawatan Pengerusi sehingga selesai pemilihan MPT yang baharu pada 22 Ogos ini.

Isa berkata, jika kedua-dua jawatan itu wujud dan sebarang keputusan parti nanti melihatkan perbezaan, konflik dalam parti akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kenyataan Anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman bahawa terdapat lebih separuh calon pemilihan Bersatu akan dipecat bersama-sama ratusan ahli akar umbi, beliau berkata, perkara tersebut tidak wajar berlaku.

Katanya, ini kerana dalam setiap parti akan ada ahli atau pemimpinnya yang berbeza pandangan dalam memberikan buah fikiran, mereka tidak boleh dilabel sebagai pembangkang termasuk dianggap musuh parti jika tidak sehaluan.

Menurut beliau, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan sekiranya memberi manfaat akan dapat menjadi input menguatkan parti.

"Kita tidak mahu parti ini dibina atas dasar ketaatan yang membuta tuli dengan mengikut apa sahaja. Kita kata mahu perjuangkan agama dan bangsa tetapi dalam parti kita sendiri tidak selesai masalah. Kita masih ada masalah dalaman dan bukan masalah luaran," katanya.