X

Kindly register in order to view this article
!

Kurangkan bergantung produk import, fokus produk sendiri

Muhyiddin diiringi Alexander Nanta Linggi tiba pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2020 di Suria KLCC hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia perlu mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan produk sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian serta penilaian semula dasar sedia ada untuk mengurangkan soal kebergantungan kepada produk import ini telah dilakukan kerajaan termasuk memberikan keutamaan kepada pembinaan keupayaan industri tempatan mengeluarkan produk buatan Malaysia.

"Malaysia perlu mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan produk-produk kritikal merangkumi sektor makanan dan minuman, peranti perubatan, ubat-ubatan, petrokimia dan peralatan perlindungan peribadi seperti sarung tangan dan pelitup muka.

"Apabila negara mempunyai keupayaan tersebut, maka kita mampu mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia dan seterusnya meningkatkan eksport barangan tempatan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2020 di Foyer Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Beli-Belah Suria KLCC di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, bagi membantu pihak industri, para perusahaan kecil dan sederhana menangani masalah aliran tunai, pelbagai insentif juga diperkenalkan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing dalam usaha merangsang dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik.

Beliau berkata, kajian soal selidik Jabatan Perangkaan Malaysia ke atas firma dan syarikat perniagaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan hampir 65.5 peratus syarikat menghadapi cabaran ketiadaan pelanggan, manakala 45 peratus syarikat akan mengambil tempoh lebih enam bulan untuk kembali pulih.

Justeru katanya, melalui Penjana kerajaan memberikan tumpuan yang khusus untuk memperkasakan ekonomi domestik melalui Kempen Beli Barangan Malaysia 2020, di mana sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi menjayakan kempen ini yang mengutamakan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan.

Menurutnya, ia sekali gus memastikan kempen ini dapat memberikan impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan serta membawa semangat yang sama untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli barangan buatan negara.

"Inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia ini disasar akan dapat mempertingkatkan lagi keupayaan syarikat-syarikat tempatan khususnya memperkukuhkan aliran tunai dan daya saing.

"Malah ia juga akan menggalakkan penandaan barangan buatan tempatan di rangkaian pasar raya dan mewujudkan saluran khusus untuk produk-produk Malaysia di platform e-dagang utama bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna membeli produk tempatan secara maya," katanya.

Muhyiddin berkata, melalui Pelan Strategik Halatuju e-Dagang Kebangsaan, lebih daripada 37 Kementerian dan agensi telah menggembleng tenaga untuk mengembangkan lagi aktiviti e-dagang di Malaysia termasuk memberikan latihan kepada 322,834 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta para peruncit dalam menggunakan platform e-dagang untuk memasar dan mengeksport produk keluaran Malaysia sejak tahun 2016.

"Hikmah di sebalik pandemik Covid-19, kebanyakan komuniti perniagaan telah beralih kepada penggunaan teknologi digital dengan lebih meluas.

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 79,274 PKS dilaporkan telah memanfaatkan platform e-dagang dan jumlah itu melebihi sasaran kerajaan untuk melatih 50,000 PKS dalam setahun," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!