13 samseng jalanan kena angkut

Sebahagian daripada remaja yang terlibat lumba haram dan mempamerkan aksi berbahaya ditahan di Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang semalam.
Sebahagian daripada remaja yang terlibat lumba haram dan mempamerkan aksi berbahaya ditahan di Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang semalam.
A
A
A

PASIR GUDANG - Keghairahan sekumpulan samseng jalanan mempamerkan aksi-aksi berbahaya dan berlumba membawa padah apabila ditahan di Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai di sini semalam.

Mereka yang berusia antara 14 hingga 23 tahun ditahan pada jam 7 petang ketika berseronok dan tidak sempat melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, seramai 13 lelaki ditahan kerana berlumba dan melakukan aksi-aksi bahaya di jalanan.

"Sebanyak 20 saman melibatkan 43 kesalahan dikeluarkan terhadap semua yang ditahan dalam operasi berkenaan.

"Selain itu, 11 buah motosikal disita untuk siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan termasuk kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis melakukan serbuan selepas mendapat maklumat dan risikan aktiviti samseng jalanan di kawasan Seri Alam.

"Kemudian dua pegawai kanan dan 12 anggota dari JSPT serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Seri Alam melancarkan Operasi Samseng Jalanan di jalan tersebut," katanya.

Kumarasan berkata, berdasarkan maklumat jalan itu merupakan lokasi remaja berlumba dan melakukan aksi-aksi bahaya seperti wheelie, zig zag dan lain-lain tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua yang ditahan akan disabitkan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 APJ 1987.

"Hasil ujian air kencing mendapati semua tangkapan negatif dan permohonan reman akan dibuat bagi siasatan lanjut," katanya.