Pandangan, pemikiran baharu wanita muda diperlukan di Johor

Mohd Rashid Hasnon (kanan) menyampaikan cenderahati kepada wakil Penggerak Wanita Muda Negara yang terlibat dalam Jelajah Wanita Muda Negara di Kukup Golf Resort, Tanjung Piai, Pontian, Johor, hari ini.
Mohd Rashid Hasnon (kanan) menyampaikan cenderahati kepada wakil Penggerak Wanita Muda Negara yang terlibat dalam Jelajah Wanita Muda Negara di Kukup Golf Resort, Tanjung Piai, Pontian, Johor, hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Wanita muda di negeri ini perlu menyumbangkan pemikiran baharu dan pandangan dalam membangunkan komuniti serta negara.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Negeri Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, peranan itu selaras kemajuan pada masa kini dengan perkembangan teknologi yang bergerak pantas.

"Selain mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang kemajuan negara, kumpulan wanita muda ini juga mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan sekiranya diberikan peluang untuk memimpin.

"Saya amat mengalu-alukan wanita-wanita muda di negeri ini menyertai badan bukan kerajaan (NGO) ini agar lebih banyak perancangan untuk menggerakkan pembangunan masyarakat akar umbi ke arah lebih cemerlang daripada sebelum ini,"katanya.

Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Wanita Muda Negara di Kukup Golf Resort, Tanjung Piai, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya amat menyokong kewujudan Penggerak Wanita Muda Negara bagi Negeri Johor selepas ditubuhkan di peringkat nasional di bawah naungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, boleh dilihat Pengerusi Penggerak Wanita Muda Negeri Johor, Khurul Ain Abd Samat berjaya mencorakkan pergerakan itu dengan melaksanakan pelbagai pendekatan khidmat masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berharap, pertubuhan itu bergerak dengan Penggerak Komuniti Negara dalam melaksanakan setiap aktiviti dengan memberikan pelbagai pendekatan baharu seiring dengan keperluan golongan wanita seangkatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pengiktirafan kepada kumpulan wanita muda ini tidak bermakna buah fikiran golongan lebih berusia tidak boleh membantu dalam perancangan pembangunan masyarakat akar umbi.

"Namun apa yang ingin kita lakukan adalah ia lebih baharu dan bertepatan dengan keinginan golongan generasi muda masa kini," katanya.