BN akan letak calon di DUN Slim

Annuar pada sesi walkabout bertemu peniaga Pasar Raja Bot hari ini.
Annuar pada sesi walkabout bertemu peniaga Pasar Raja Bot hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian sebagai menghormati Allahyarham yang baharu meninggal dunia.

Menurutnya, proses memilih calon berjalan seperti biasa yang akan dibawa dalam mesyuarat BN Perak.

"BN Perak akan bermesyuarat dan mengemukakan beberapa nama sebelum Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) membuat pemilihan.

"Namun yang pasti BN akan hantar calon. Walaupun calon datang dari BN namun kita akan berunding dengan Pas atas nama Muafakat Nasional dan juga Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kerana kita sekarang berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional," katanya selepas selesai sesi walkabout di Pasar Raja Bot hari ini.

Terdahulu, Mohd Khusairi disahkan meninggal di Hospital Bentong selepas pengsan dan tidak sedarkan diri ketika bermain golf di sebuah resort di Genting Highlands.

Mohd Khusairi memenangi kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan calon Bersatu dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Dalam perkembangan sama, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memaklumkan wakil UMNO, Bersatu dan Pas akan hadir mesyuarat secara formal pada Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat tersebut antara lain akan membincangkan isu negara melalui pembentukan kerajaan yang kuat dan boleh melaksanakan agenda-agenda membela rakyat.

"Kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Jika politik tidak stabil, kalau pemimpin banyak idea namun idea itu tidak boleh dilaksanakan kerana masalah ketidaktentuan, maka rakyat yang akan rugi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN ADUN Slim meninggal dunia