X

Kindly register in order to view this article
!

Ketatkan sistem kuarantin, elak gelombang kedua Covid-19: Najib

Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengetatkan sistem kuarantin berikutan laporan kluster baharu koronavirus (Covid-19) membabitkan pertambahan kes-kes yang diimport dari luar negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mana-mana individu yang pulang dari luar negara perlu dianggap sebagai kes suspek dengan mereka yang melanggar kuarantin perlu dipenjarakan dan bukannya dibebaskan dengan denda RM1,000.

Menurutnya, individu berkenaan juga perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin rasmi negara atau dalam hotel-hotel disyorkan kerajaan dengan kos pembiayaan hotel sepanjang tempoh kuarantin perlu dibayar mereka sendiri.

"Kerajaan perlu mengkaji keputusan mengizinkan mereka yang pulang dari luar negara, menjalani pengawasan sendiri di rumah, dan mereka yang melanggar kuarantin perlu dipenjarakan dan bukannya dibebaskan dengan denda RM1,000.

"Jika kos merupakan faktor kenapa membenarkan kuarantin di rumah, saya percaya mereka yang tiba atau pulang dari luar negara mampu menampung kos bagi kuarantin 14 hari dalam pusat kuarantin rasmi negara atau dalam hotel-hotel yang telah disyorkan kerajaan.

"Suruh mereka bayar sendiri," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas penemuan empat kluster baharu wabak Covid-19 dalam tempoh 24 jam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada indeks kluster tersebut melibatkan individu yang baru pulang dari luar negara.

Menurutnya, meskipun tidak bergejala dan disahkan negatif pada saringan pertama sebaik tiba di pintu masuk negara, masing-masing disahkan positif Covid-19 beberapa hari kemudian.

Sementara itu, Najib turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua jangkitan Covid-19 dengan mengambil contoh penularan di Australia akibat kelemahan sistem kuarantin.

Menurutnya, rakyat Malaysia sudah tidak larat untuk mengulangi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berdepan kerugian ekonomi sangat besar akibat perintah itu dikeluarkan kerajaan kelak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!