Muhyiddin harus kota janji iktiraf UEC: DAP

Muhyiddin dan Ronnie
Muhyiddin dan Ronnie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mengotakan janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagaimana dijanjikan beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu masih bersama Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, ketiadaan Muhyiddin dan Bersatu dalam PH dengan beliau dan partinya kini mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan satu alasan baik untuk mengenepikan janji pengiktirafan yang pernah dipersetujui mereka.

Menurutnya, beliau pernah memberitahu Muhyiddin bahawa janji pengiktirafan UEC adalah janji DAP dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan ia juga akan dimasukkan semula sebagai janji manifesto PH sewaktu ditubuhkan.

"Sebelum PRU14, Muhyiddin pernah mengatakan beliau tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC jika PH menang dlm PRU nanti (melalui wawancara khas bersama akhbar Sin Chew Daily pada 10 Januari 2017).

"Saya memandang serius dan pernah memberitahu Muhyiddin bahawa pengiktirafan UEC adalah janji DAP dan PR, ia juga akan dijanji semula dlm manifesto PH nanti.

"Beliau seharusnya menghormati pendirian DAP dan PH sebagai 'orang baru' dalam PH (akhirnya Muhyiddin dan Bersatu pun bersetuju janji pengiktirafan UEC dimasukkan dlm manifesto PH)," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Kenyataan Ronnie Liu yang dimuat naik dalam laman Facebooknya semalam.
Kenyataan Ronnie Liu yang dimuat naik dalam laman Facebooknya semalam.

Ronnie berkata, beliau berharap Muhyiddin tidak akan lupa rasional di sebalik usaha pengiktirafan UEC sebagaimana dibentangkan DAP sebelum ini dengan beliau diharapkan akan terus memberikan pengiktirafan kepada sijil itu.

Artikel Berkaitan:

"Beliau (Muhyiddin) dan Bersatu tidak lagi dalam PH bukan satu alasan atau pun 'excuse' yang baik.

"Janji mesti dikotakan dan bukan 'dicapati'" katanya.

Semalam media tempatan melaporkan dakwaan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) bahawa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Menurut pertubuhan itu, Muhyiddin menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Huazong berkata, Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.

"Bagaimanapun Perdana Menteri meminta semua pihak memahami dasar dan keadaan dalam negara," kata pertubuhan itu.