Kerajaan komited pulihkan ekonomi Malaysia

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kejayaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) akan menjadi kunci kepada pemulihan ekonomi domestik, seterusnya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya khususnya bagi menghadapi kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited bagi memastikan usaha meningkatkan jualan barangan tempatan mencapai sasaran sebanyak 30 peratus melebihi hasil jualan pada tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi mengakui sasaran tersebut adalah satu cabaran besar ketika negara masih berdepan wabak Covid-19.

Namun, katanya, ia tidak mustahil berjaya dengan adanya suntikan peruntukan khas berjumlah RM20 juta melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu.

“Kerajaan telah berjaya mencatatkan impak positif peningkatan hasil jualan produk-produk tempatan yang signifikan iaitu sebanyak RM513 juta pada tahun 2019 berbanding RM416 juta pada 2018.

“Untuk itu, kementerian menyasarkan mencapai peningkatan 30 peratus daripada nilai jualan produk-produk buatan tempatan melalui pelaksanaan inisiatif strategik yang digariskan dalam KBBM.

“Kita mempunyai tempoh dari Julai hingga Disember ini untuk mencapai sasaran tersebut. Ia satu cabaran yang besar tetapi kita yakin dan percaya kejayaan ini mampu dicapai melalui kerja keras dan kerjasama pelbagai pihak,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, sasaran tersebut boleh dicapai menerusi pertambahan bilangan pasar raya besar, supermarket, superstore, kedai serbaneka, kedai rangkaian, stesen minyak dan online marketplace yang menjadi rakan strategik kementerian untuk menyokong kempen tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, usaha turut dilakukan melalui sesi libat urus dan tempoh kempen yang lebih panjang serta pelan promosi yang lebih inklusif termasuk strategi pelan media bagi KBBM dengan pendekatan lebih substantif dan komprehensif,” katanya.

Kesedaran

Nanta berkata, penentu kejayaan KBBM adalah seiring dengan kesedaran masyarakat memahami objektif kempen berkenaan iaitu bagi membantu memulihkan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, barangan dan perkhidmatan tempatan hasil pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) memerlukan sokongan masyarakat bagi membolehkan mereka mampu beroperasi secara berterusan.

“IKS merupakan komponen penting dalam ekonomi sesebuah negara, malah di negara-negara maju, IKS amat berperanan dalam ekonomi mereka.

“Kesan Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan sukar diteruskan dan mengakibatkan pekerja diberhentikan.

“Jadi, masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan dengan membeli barangan buatan Malaysia supaya kita dapat bantu perniagaan mereka, seterusnya memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Peruncitan

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia tidak menjadi penghalang usaha memperkasakan KBBM dan merancakkan sektor peruncitan dalam negara dengan adanya platform atas talian yang kini sudah menjadi trend masyarakat untuk berbelanja.

Malah, katanya, melalui pelbagai pengisian yang telah diatur sejak Jun lagi, beliau yakin usaha itu mampu menjayakan KBBM.

“Antara inisiatif strategik yang telah dirangka adalah penembusan produk-produk tempatan ke dalam sektor peruncitan. Kita akan menyokong produk berkenaan untuk disenarai tetap di pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

“Selain itu, jualan dan pemasaran secara e-Dagang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kempen, promosi, diskaun jualan produk-produk tempatan secara berterusan melalui kerjasama strategik bersama portal dalam talian marketplace utama di Malaysia seperti Shopee, Lazada, PG Mall, GoShop dan 11Street/Prestomall,” katanya.

Kejayaan Kempen Beli Barangan Malaysia akan menjadi kunci kepada pemulihan ekonomi domestik, seterusnya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya khususnya bagi menghadapi kesan pandemik Covid-19.
Kejayaan Kempen Beli Barangan Malaysia akan menjadi kunci kepada pemulihan ekonomi domestik, seterusnya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya khususnya bagi menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan khas yang disediakan melalui Penjana akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pendekatan lebih agresif dan komprehensif melalui promosi secara berterusan menggunakan pelbagai platform media massa, media sosial dan kolaboratif khas.

Menurutnya, Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 yang turut diadakan serentak dengan KBBM juga akan dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu.

Beli barang import gagalkan KBBM

Rakyat Malaysia perlu bijak menentukan perbelanjaan dengan mengutamakan barangan buatan tempatan khususnya ketika berbelanja atas talian.

Nanta berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kebanyakan rakyat Malaysia dilihat cenderung membeli barangan dalam talian yang kebanyakannya adalah barangan import.

“Ia akan menyebabkan wang disuntik keluar daripada aliran ekonomi domestik dan menjadikan matlamat KBBM kurang berkesan,” katanya.

Menurutnya, sokongan rakyat Malaysia menjayakan KBBM adalah antara sumbangan yang boleh diberikan rakyat kepada negara.

“Jadi, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus berbelanja dalam sektor-sektor yang terkesan semasa wabak Covid-19 seperti sektor pelancongan, pengangkutan, perkhidmatan, pembinaan dan lain-lain.

“Ambillah peluang bawa keluarga melancong dalam Malaysia dan berilah peluang ekonomi kepada usahawan kecil,” kata beliau.

OBJEKTIF KEMPEN BELI BARANGAN MALAYSIA

• Meningkatkan semangat patriotisme rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

• Merangsang pertumbuhanekonomi domestik dengan pembelian barangan tempatan, sekali gus membantu meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

• Mempamerkan pelbagaibarangan/produk buatan tempatan kepada rakyat Malaysia dan secara tidak langsung dapat memperkenal serta menarik minat orang ramai terhadap barangan tempatan.

• Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, sekali gus membendung sikap mengagungkan produk luar negara sedangkan produk buatan Malaysia juga setanding atau lebih baik daripada produk luar negara.

• Membantu pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

• Memberikan dorongan kepada pengusaha-pengusaha tempatan menghasilkan produk yang setanding dengan produk luar negara.