Jurujual kereta tak mengaku tipu warga emas

Tertuduh, Mohd Sahmir Dahalan mengaku tidak bersalah menipu seorang warga emas membabitkan kerugian RM6,900 ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang jurujual kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menipu seorang warga emas dalam urusan jual beli kereta mewah membabitkan kerugian RM6,900, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Sahmir Dahalan, 34, dari Gong Badak, Kuala Nerus mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan didakwa ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Sahmir memperdaya [email protected] Mohd Nor Md Amin, 70, dengan menjual kereta jenis Mercedez Benz, nombor pendaftaran WLG 767 sebelum menyerahkan wang tunai RM3,200 di sebuah rumah di Kuala Ibai jam 3.20 petang pada 14 Disember 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menipu mangsa sama sehingga mendorong warga emas itu menyerahkan wang tunai RM3,000 di Pejabat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Jalan Kubang Ikan, Chendering kira-kira jam 3 petang pada 18 Disember 2017.

Tertuduh turut didakwa menipu mangsa di hadapan gerai makan, Jalan Bukit Kecil sehingga mendorong mangsa menyerahkan tunai RM700 kira-kira jam 9 pagi pada 21 Disember 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna sebelum Majistret, Abdul Hayyi Salim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.