Perlukah akta lompat parti?

A
A
A

DI sebalik riuh rendah Persidangan Dewan Rakyat minggu ini, barangkali yang tidak menjadi tumpuan tetapi sangat signifikan kepada politik negara sudah tentulah mengenai Akta Anti Lompat Parti.

Nasib baik Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis lalu meluluskan usul untuk mendesak kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang antilompat parti. Kalau tidak, mungkin perkara itu akan terus senyap dan terpinggir.

Memang usul itu tidak ada dalam agenda persidangan tetapi kalau melihat gaya dan perangai Yang Berhormat (YB) sepanjang bersidang, rasanya lebih baik perkara itu menjadi agenda perbahasan daripada menyentuh isu-isu kosong yang tidak sepatutnya. Tak perlulah frasa ‘gelap’ dan ‘bedak’ lebih mencuri tumpuan dan perhatian rakyat.

Isu lompat parti bukanlah perkara yang baharu, malah ia tidak berlaku secara khusus di Malaysia sahaja. Mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi faham akan kejadiannya. Yang berbeza mungkin sebab dan cara amalannya, jadi apa rasionalnya sampai negara kita perlu kepada satu undang-undang khusus sebegitu?

Isunya ialah lompat dilihat dari sudut yang subjektif, sempit dan selektif. Mengapa begitu?

Subjektif kerana ia hanya diperkatakan dalam konteks kepartian. Contoh paling mudah lihatlah bagaimana parti-parti politik hanya melenting dan mendesak kewujudan akta itu kalau ada ahli mereka melompat keluar ke parti lawan untuk membentuk kerajaan. Namun, bagi parti yang menjadi kerajaan, tidak pernah pula dengan tegas menolaknya, malah bergirang hati menerima penghijrahan ‘katak politik’ ke dalam parti mereka.

Di sisi yang lain, isu itu selalu dilihat dalam perspektif yang sempit dan selektif. Yang menjadi isu apabila yang melompat adalah YB (ahli Parlimen atau DUN). Bagi ahli biasa tak jadi isu pula. Kalau itu berlaku, maka sudah tentulah akan bercanggah dengan kebebasan berpersatuan seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 10(1)(c). Jadi, bagaimana pula ada akta yang bertentangan dengan perkara itu boleh diwujudkan secara bersama?

Malah, ada perbezaan ketara antara persoalan lompat parti dengan pembentukan majoriti dalam konteks membentuk kerajaan terutama merujuk kepada Perkara 43(2)(a). Dalam hal itu, jelas Perlembagaan menolak peranan parti politik apabila perkara tersebut secara spesifik menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri. Sebab itu tiada keperluan untuk melompat parti kalau mahu atau tidak menyokong seseorang untuk menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Justeru, adakah tidak perlu sebarang mekanisme perundangan bagi menghalang lompat parti? Mungkin parti politik itu sendiri yang harus memikirkan kaedah bagi memastikan ahlinya setia dan taat kepada perjuangan. Selagi mana integriti dan moral tidak berbudaya dalam amalan berpolitik terutama dalam kalangan pemainnya, maka amat sukar untuk mengekang amalan lompat parti.

Kedinamikan sifat manusia akan sentiasa berubah disebabkan adanya pemikiran dan kepentingan yang berbeza. Dalam politik lazimnya ia berlaku dalam budaya penaungan menerusi amalan pampas-memampas. Maka tidak hairanlah kalau pendirian politik boleh berubah disebabkan adanya habuan dan laba keuntungan. Cuma sedihnya semua itu dihalalkan menerusi dendangan lunak berslogankan ‘kepentingan rakyat’.

Dahulu, ada parti melakukan sumpah baiah talak tiga kepada mana-mana wakil rakyatnya yang berhajat melompat ke parti lawan. Tertanya-tanya juga apa ceritanya, berkesan atau tidak cara itu?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)