Resah menanti Liga-M bermula

Yusri Che Lah
Yusri Che Lah
A
A
A

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyambung semula Liga Malaysia (Liga-M) mulai 26 Ogos depan mungkin memberikan kelegaan kepada kebanyakan pasukan tetapi tidak kepada pengendali Kelantan, Yusri Che Lah.

Yusri mengakui bimbang kerana Kelantan masih belum memulakan sebarang latihan, apatah lagi pasukannya dijadualkan memulakan aksi liga lebih awal apabila terpaksa mengharungi perlawanan tertunda menentang UKM FC pada 22 Ogos nanti.

“Lagi sakit kepala. Saya faham situasi yang berlaku kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini, tetapi saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada KAFA iaitu menyegerakan untuk memanggil para pemain kembali menjalani latihan.

“Seperti semua tahu, kami masih belum memulakan latihan. Hari ini (semalam) sudah 17 Julai. Saya dimaklumkan pengurusan baharu (KAFA) sudah menghantar permohonan kepada MFL untuk memulakan latihan. Tetapi, saya tidak pasti sama ada MFL dapat meluluskannya dengan segera atau tidak.

“Kalau dibenarkan mungkin hari Isnin iaitu 20 Julai ini dan saya betul-betul hanya ada sebulan untuk mempersiapkan pasukan. Itu belum ditolak dengan cuti Hari Raya Aidiladha dan cuti mingguan. Saya lihat ia sebagai tempoh yang getir kepada saya kerana tempoh itu sangat padat.

“Selain itu, saya juga tidak tahu status semasa barisan pemain Kelantan dari segi kecederaan, kecergasan dan sebagainya. Ia tambah merumitkan keadaan buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Yusri menghadapi pelbagai cabaran dalam mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi baki saingan Liga-M musim ini.
Yusri menghadapi pelbagai cabaran dalam mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi baki saingan Liga-M musim ini.

Lebih merisaukan, Yusri mendapat tahu salah seorang pemainnya telah menarik diri daripada pasukan, sekali gus mengundang masalah kepadanya dan pasukan dalam mengharungi jadual yang dijangka padat.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini salah seorang pemain import Kang Seung-Jo telah menarik diri daripada pasukan dan saya dikhabarkan ada seorang lagi pemain tempatan yang menjadi pemain kesebelasan utama pasukan telah menarik diri.

“Ia satu lagi senario yang merisaukan saya kerana kami mendaftarkan 23 pemain. Jadi jika tolak dua pemain, hanya tinggal 21 pemain. Nasib baik kerana kami boleh menambah pemain Piala Presiden sebanyak tiga orang dalam pasukan.

“Ia mencukupi bagi saya tetapi agak terhad kerana perlawanan yang akan berlangsung selama sebulan itu kemungkinan sangat padat dan akan menyebabkan kecederaan kepada pemain,” jelasnya.

Biarpun dilanda pelbagai masalah, Yusri berkata, beliau tetap menuntut komitmen dapat diberikan barisan pemainnya dalam mengharungi baki perlawanan liga musim ini.

“Saya harap mereka bersedia walaupun saya tahu sukar untuk mengharungi detik sebegini. Kita tetap perlukan berikan yang terbaik kerana ini juga masa depan kita. Jika pemain dapat berikan yang terbaik, tidak mustahil musim depan ada pasukan lain yang akan menyambar khidmat mereka,” ujarnya.