TSS FC kelab kecil berjiwa besar

Skuad B-12 dan B-10 TSS FC muncul juara pada Kejohanan Antarabangsa Belia Thailand di Pattaya tahun lalu.
Skuad B-12 dan B-10 TSS FC muncul juara pada Kejohanan Antarabangsa Belia Thailand di Pattaya tahun lalu.
A
A
A

PEMBANGUNAN akar umbi antara elemen yang cukup penting dalam industri sukan khususnya bola sepak.

Lebih tepat, tanpa program efektif daripada peringkat akar umbi, hajat untuk menuai hasil kejayaan dilihat tampak mustahil untuk dikecapi.

Masakan tidak, program pembangunan akar umbi menjadi teras utama bagi sukan bola sepak yang mana pertumbuhan pemain-pemain muda perlu dipertingkatkan dalam usaha memastikan potensi generasi muda sentiasa dicungkil.

Di Selangor, sukan bola sepak cukup dekat di hati rakyat, apatah lagi legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari menjadi bintang ikonik bola sepak Selangor.

Jadi bukan satu perkara yang menghairankan jika melihat begitu banyak kelab-kelab akar umbi di seluruh Selangor yang sentiasa melahirkan pemain-pemain muda berkualiti.

Salah satu kelab akar umbi sering menjadi sebutan adalah TSS FC yang mana kelab bola sepak akar umbi ini dimiliki Tengku Shakirinal Sulaiman Shah yang mesra disapa Tengku Nana.

Nama Tengku Nana bukanlah asing buat rakyat Selangor apabila beliau merupakan seorang peminat bola sepak yang aktif bersama pasukan veteran Selangor.

Lantaran minat terlalu mendalam terhadap sukan bola sepak, Tengku Nana mengakui beliau memiliki impian melihat lebih peningkatan dalam prestasi bolasepak Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tanpa menoleh ke belakang, beliau telah mengambil keputusan untuk melabur dalam kancah bola sepak akar umbi dengan menubuhkan TSS FC.

Menariknya, dua puteranya iaitu Tengku Mahmood Shah (10 tahun) dan Tengku Sulaiman Shah (7 tahun) juga mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak yang menjadi antara elemen pemangkin semangat buat Tengku Nana menubuhkan TSS FC.

Tengku Nana (kiri) dan Setiausaha Kehormat TSS FC, Bob Zazli Mohd Zabidi.
Tengku Nana (kiri) dan Setiausaha Kehormat TSS FC, Bob Zazli Mohd Zabidi.

Mengimbau kembali perjalanan TSS FC, Tengku Nana mengakui ia menjadi satu pengalaman cukup bermakna dan unik buat dirinya selaku pemilik sebuah kelab bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya masih ingat lagi kenangan itu ketika saya pertama kali melibatkan diri dengan peringkat akar umbi, sejujurnya saya sendiri tidak tahu apa rasanya.

“Ini kerana kita sudah biasa dengan kemeriahan bola sepak di peringkat tertinggi sebagai peminat bola sepak yang lazimnya turun ke stadium untuk menyokong pasukan kesayangan mereka. Itulah yang berlaku sebelum ini.

“Namun, ia bagaikan satu mercu tanda perubahan telah berlaku dalam diri saya sebaik saya terlibat secara langsung dalam pembangunan akar umbi.

“Jika orang bertanyakan kepada adakah saya kesal dengan keputusan saya sekarang, jawapan saya tidak. Sebaliknya saya sangat teruja selepas menyaksikan potensi besar TSS FC.

“Satu pengalaman yang tidak boleh dibeli apabila kamu diberikan peluang untuk menjaga pemain-pemain muda berbakat ketika mereka berusia bawah 7, 10 dan 12 tahun dan saya mahu memainkan peranan untuk membantu kanak-kanak ini,” katanya.

TSS bukan akademi

Tengku Nana, 39, turut menegaskan TSS FC bukanlah berstatus akademi, sebaliknya ia merupakan sebuah kelab bola sepak. Ini kerana Tengku Nana memberitahu ada beberapa pihak masih keliru berhubung status TSS FC.

“Saya ingin jelaskan bahawa kelab saya bukan akademi bola sepak di mana TSS FC juga bertanding dalam beberapa kejohanan.

“Kenapa saya masuk dalam dunia kelab akar umbi dan buat benda ini kerana minat bola sepak daripada kedua-dua anak saya iaitu Tengku Mahmood dan Tengku Sulaiman.

“Mereka sangat meminati bola sepak tetapi saya sedar anak-anak saya belum di tahap umur mereka yang nampak kebolehan tinggi. Seramai 45 kanak-kanak ini yang berusia dari 7 sehingga 12 tahun adalah dari Akademi Tunas Petaling Petaling (antara lima akademi di Selangor).

“Itu sebabnya saya bawa pemain terbaik dari Akademi Tunas Petaling Perdana peringkat umur 7, 10 dan bawah 12 tahun untuk bermain di kelab saya dan saya inginkan mereka mendapat aspek bola sepak yang lebih baik dan nampak peningkatan prestasi.

“Justeru, ingin saya tekankan TSS FC bukan akademi tetapi ia adalah kelab milik saya sendiri,” jelasnya.

Tengku Nana (empat dari kanan) bersama barisan jurulatih TSS FC.
Tengku Nana (empat dari kanan) bersama barisan jurulatih TSS FC.

Menurut Tengku Nana, beliau juga membawa TSS FC menyertai beberapa kejohanan antarabangsa di Singapura, Thailand dan Jakarta sehingga berjaya memenangai beberapa piala.

Sebagai rekod, TSS FC adalah sebuah kelab sukan bola sepak akar umbi yg didaftarkan pada September 2019. Berpangkalan di Shah Alam, TSS FC terdiri dari pemain-pemain bola sepak seawal usia 7 hingga 12 tahun.

Skuad TSS FC ketika ini terdiri daripada skuad Bawah tujuh tahun (B-7), B-10 dan B-12 dengan jumlah bakat seramai 45 pemain dan dibimbing oleh enam orang jurulatih berwibawa.

Yusri Ma’asom mengetuai barisan kejurulatihan TSS FC dengan dibantu Ameer Imran Muhammad Adib, Shamsul Amri Abu Bakar, Mohd Najib Sanid, Mohd Hamzah Ismail dan Noorizwani Hafiz Md Noor.

“Ibu bapa pemain semua juga memainkan peranan penting memberikan sokongan moral pada saya dan pasukan saya untuk bantu anak-anak mereka ke arah lebih cemerlang dan ini menguatkan semangat saya lagi.

“Saya tidak gunakan mana-mana saluran untuk bantuan kewangan, contohnya pihak kerajaan atau apa-apa agensi. Saya buat semuanya sendiri.

“Malah, padang latihan saya cari dan bayar sewa. Insya-ALLAH saya masih mencari satu padang tetap untuk latihan pasukan kami dan itu langkah seterusnya TSS FC,” ujarnya.