Empat lelaki didakwa rancang serangan ke atas komuniti Muslim

Brian Colaneri, Vincent Vetromile dan Andrew Crysel
A
A

WASHINGTON - Tiga lelaki dan seorang remaja dituduh sebagai perancang utama serangan ke atas sebuah kawasan komuniti kecil Islam di New York, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai polis pada Selasa.

"Polis mendapati terdapat rancangan untuk menyerang masyarakat di kawasan itu menggunakan senjata," kata Ketua Polis Greece Patrick Phelan pada sidang akhbar.

Jabatan Polis Greece menahan Brian Colaneri, 20, Vincent Vetromile, 19, dan Andrew Crysel, 18, pada Sabtu. Ketiga-tiganya didakwa dengan tiga tuduhan jenayah termasuk memiliki senjata berbahaya dan melakukan konspirasi.

Sementara seorang remaja lelaki 16 tahun ditahan di bawah undang-undang juvana kerana masih di bawah umur selepas polis menemui 23 senjata serta tiga jerangkap rekaan elektrik (IED) di rumahnya.

Sementara itu Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) mahu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

"Sesiapa yang dituduh merancang keganasan mensasarkan minoriti agama perlu dibicarakan di mahkamah yang lebih tinggi sesuai kesalahan serius yang mereka lakukan," kata Pengarah Eksekutif CAIR-NY Afaf Nasher dalam kenyataannya.

Kawasan komuniti Islam yang dikenali Islamberg itu ditubuhkan pada1980-an oleh Mubarak Ali Gilani, seorang ulama berasal dari Pakistan dan kebanyakan masyarakat di situ terdiri mereka berkulit hitam.

Kumpulan berhaluan kanan mendakwa bandar terbabit adalah tempat perlindungan bagi pelampau dan pengganas, namun tiada bukti menyokong dakwaan itu.

Data analisis memerangi keganasan 2008 Akademi Tentera AS, West Point mendapati tiada bukti Islamberg adalah sebahagian rangkaian yang menyediakan latihan merekrut pengganas. - Bernama