Redzuan beri laluan kepada Ahmad Faizal

Mohd Redzuan Md Yusof (kiri) dan Ahmad Faizal Azumu
Mohd Redzuan Md Yusof (kiri) dan Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar apabila memberi laluan kepada Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai calon Timbalan Presiden parti itu.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Mohd Muzzammil Ismail berkata, meskipun Mohd Redzuan merupakan pemimpin senior dan salah seorang pengasas parti itu, namun beliau sedia bertolak ansur.

Selain itu katanya, tindakan terpuji Mohd Redzuan dapat mengelak lebih banyak penjuru pertandingan bagi jawatan tersebut.

“Ketika pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, ketika itu telah bermulanya krisis dalaman Bersatu membabitkan blok Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ketika itu juga sebenarnya nama lain yang timbul sebagai Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan. Tapi beliau memberi laluan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal yang berstatus Menteri Besar Perak.

“Di sini kita lihat bahawa ada tolak ansur untuk mengelak krisis dalaman parti dan pertembuangan terlalu banyak yang boleh menyebabkan parti lebih berkocak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Berdasarkan senarai calon layak bertanding dalam pemilihan parti itu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), hanya nama Ahmad Faizal sebagai calon Timbalan Presiden.

Sementara itu, jawatan Ketua Armada menyaksikan dua nama dicalonkan iaitu Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Muzzammil

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai pencalonan jawatan tersebut, Mohd Muzammil berkata, ia adalah pertandingan adik-beradik dalam satu keluarga.

Katanya, beliau dan Wan Ahmad Fayhsal telah mengambil kata sepakat untuk berkempen secara sihat tanpa melakukan sebarang serangan peribadi yang boleh menjejaskan imej Armada.

“Kedua-dua belah pihak menyokong Presiden (Muhyiddin) dan kita bertanding secara profesional dengan mengangkat prinsip demokrasi di dalam parti.

“Ini kerana akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian seterusnya mengharapkan adanya satu pertandingan untuk memilih pemimpin.

“Perkara lebih penting pemimpin tersebut mestilah mendapat sokongan akar umbi dan jelas hala tuju perjuangan,” katanya.