Tak perlu takrifan, hanya penuhi fitrah

A
A
A

BEBERAPA hari lalu, saya ada menerima mesej daripada Profesor Madya Dr Ahmad Azrin. Beliau merupakan seorang pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan di Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu.

Beliau beritahu ada membaca artikel saya bertajuk Benarkah Orang Melayu Miskin? Dalam artikel itu, saya ada juga memetik kata-kata beliau yang tersiar dalam Sinar Harian sebelum itu yang mengulas tentang kemiskinan.

Hanya sedikit petikan pada perenggan akhir yang saya ambil secara terus sahaja berkenaan statistik e-Kasih, cuma kata beliau, ulasannya tidak digambarkan dengan lengkap dan ingin berkongsi artikel yang selengkapnya.

Saya membalas mesej tersebut memberitahu bahawa artikel saya sebenarnya bukan mempertikaikan ulasannya tetapi adalah sebaliknya. Kata beliau melalui mesej: “Saya kongsi artikel saya berkenaan kemiskinan. Saya berpendapat, takrifan kemiskinan sedia ada tidak tepat.”

Saya telah membaca artikel beliau yang cuba untuk mentakrifkan semula apa itu kemiskinan dan dengan takrifan baharu itu, mungkin pihak kerajaan boleh menangani dengan lebih efektif permasalahan mengenai kemiskinan.

Berkenaan takrifan baharu itu, sekali lagi membuatkan saya berfikir, cuba berdialetik dan mencari logik melibatkan perkara yang saya rasa tidak perlu dirumitkan tapi kadangkala menjadi lebih rumit.

Pantas hati saya berbisik-bisik pula: “Oh sudah sekian lama masih belum ada takrifan yang betul agaknya.”

Memang saya akui perlu ada takrifan kerana sesuatu perkara itu tidak mungkin statik sahaja. Pada waktu-waktu tertentu perlu ada pentakrifan baharu mengikut kesesuaian keadaan semasa.

Artikel Berkaitan:

Sama seperti paras kemiskinan, kalau dahulu menurut kajian yang dibuat oleh pengkaji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kerajaan Malaysia telah meletakkan garis kemiskinan RM980 ke bawah iaitu 0.4 peratus bersamaan lebih kurang hanya 24,000 orang. Pada masa kini, kerajaan telah menaikkan parasnya kepada RM2,208 maka bersamaan lebih kurang 400,000 orang.

Namun, dalam membina takrifan tersebut, fokusnya hanya untuk mengklasifikasikan rakyat yang miskin. Sepatutnya fokus adalah kerajaan. Apabila kerajaan dipilih, tugas utamanya adalah untuk menyempurnakan keperluan asas rakyatnya tanpa mengira takrifan.

Keperluan asas percuma yang memenuhi hidup seorang manusia secara sempurna seperti rumah, tanah, pendidikan, perubatan dan keperluan utiliti untuk semua rakyat. Ia adalah asas kehidupan seorang manusia, bukan diswastakan supaya dapat berniaga dengan rakyat jelata.

Kemiskinan

Untuk berbuat begitu tidak perlu takrifan. Mereka yang sanggup mengambil tanggungjawab menjadi kerajaan yang perlu menjalankan tanggungjawab itu untuk rakyat.

Kalau kita melihat sebuah syarikat yang besar, ketua pegawai eksekutif bukan sahaja mempunyai pendapatan berpuluh-puluh ribu sebulan tetapi semua elaun diberi. Pekerja biasa hanya bergantung kepada gaji. Setiap akhir bulan biasanya tidak tahu hendak senyum atau menangis. Bak kata pepatah ‘air lalu kubangan tohor’.

Selain itu, jika hendak berbincang takrifan kemiskinan, hendaklah dibaca tentang penulisan Karl Marx. Rata-rata apabila disebut Karl Marx, mereka tahu hanya komunis dan ateis. Hanya sedikit yang mengetahui apa yang ditulis oleh Marx mengenai kemiskinan.

Apa yang terhasil di dunia dalam sistem pekerjaan kita sekarang pun daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesarnya tercetus daripada Marx. Saya tidak perlu menyebutnya semua, cukuplah saya beritahu satu sahaja iaitu sistem pencen.

“Apa? Sistem pencen itu adalah sebenarnya perjuangan Marx?” Mungkin ada yang terkejut bertanya. Selain itu mungkin kita boleh melihat apa yang dibuat Muaamar Gaddafi kepada Libya tentang keperluan asas seorang manusia. Boleh juga dibaca buku Hijau tulisannya.

Seorang kawan yang tinggal di luar negara dan berkahwin dengan wanita di sana pernah memberitahu saya: “Sal, bila aku dapat anak, terus kerajaan beri elaun untuk anak. Setiap anak ada akaun untuk beli keperluan bayi.”

Dan kata kawan saya lagi, ketika isteri beliau melahirkan anak yang ketiga, maka perlu untuk beliau sekeluarga mencari rumah yang sesuai dengan pertambahan keluarga. Kalau tidak mampu, kerajaan akan carikan.

Ia tidak perlu takrifan. Hanya perlu diberi layanan sesuai dengan fitrah manusia sahaja. Wallahuaklam.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com