X

Kindly register in order to view this article
!

Penunggang Ducati Corsa maut rempuh treler

Motosikal mangsa terbakar susulan merempuh tayar belakang sebelah kiri treler. - Foto IPD Hulu Terengganu
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang jurujual maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bertembung dengan sebuah treler membawa muatan simen di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (simpang tiga Bukit Perpat), Kuala Berang di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Arman Che Aziz, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku ketika treler yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Bukit Perpat.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati Corsa pula dalam perjalanan dari arah Wakaf Tapai menghala ke Ajil.

"Ketika treler tersebut sedang membelok ke kanan simpang tiga Bukit Perpat, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai merempuh tayar belakang sebelah kiri treler.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas petak kuning simpang jalan berkenaan sementara motosikalnya terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Adli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!