Tarikh PRK DUN Slim dibincangkan pada 23 Julai

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - Foto Sumber Internet
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, perkara itu diputuskan selepas menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengenai kekosongan luar jangka kerusi N.58 Slim hari ini.

Kekosongan luar jangka DUN itu berlaku selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada Rabu lalu akibat serangan sakit jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

"Berdasarkan Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas SPR itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Dr Azmi Sharom dan ia akan diadakan pada jam 9 pagi di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.

Ikmalrudin berkata, mesyuarat itu antara lain akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan PRK tersebut.

Dalam pada itu, SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Khusairi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. - Bernama

Artikel Berkaitan: