Kes rasuah Tengku Adnan didengar semula di hadapan Hakim Nazlan

Tengku Adnan menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta.
Tengku Adnan menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan terus mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ia berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanathan mengakaskan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan perbicaraan kes Tengku Adnan didengar di hadapan hakim lain.

Beliau kemudian menetapkan 24 Julai untuk sebutan kes itu di hadapan Mohd Nazlan.

Dalam keputusannya, Hakim Nallini mengatakan Mahkamah Rayuan telah melakukan kekhilafan dari sudut undang-undang dan menerapkan undang-undang secara salah pada fakta kes itu yang memerlukan campur tangan dan akas.

“Kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi yang asal untuk menyambung semula perbicaraan,” katanya dan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan pendakwaan.

Dua lagi hakim adalah Hakim Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Nallini, dalam keputusannya berkata, hakim profesional menjalankan tugas menentukan sama ada tertuduh bersalah atau sebaliknya berdasarkan bukti.

“Seorang hakim tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak memihak walaupun membaca fakta berkaitan kes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, seorang hakim yang mengangkat sumpah jawatan perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Nallini berkata, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan hak untuk hidup, merangkumi hak untuk perbicaraan yang adil.

Beliau berkata, amalan hakim asal untuk terus mendengar perbicaraan selepas seseorang tertuduh membuat pengakuan bersalah dalam perbicaraan bersama adalah diterima di negara ini.

Hakim Nallini berkata, Mahkamah Rayuan gagal mempertimbangkan fakta penting iaitu walaupun kes itu diserahkan kepada hakim lain, rekod pengakuan bersalah dan fakta kes tersebut yang dikemukakan pihak pendakwaan dan dipersetujui oleh tertuduh bersama juga diperoleh hakim baharu.

“Oleh itu, sebarang dakwaan mengenai bahaya berat sebelah nyata tidak berasas mengenai mahkamah dan hakim asal,” katanya.

Pada 20 September tahun lepas, Hakim Mohd Nazlan menolak permohonan Tengku Adnan agar beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraannya menyebabkan Tengku Adnan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini membuat keputusan menyebelahi Tengku Adnan dan memerintahkan perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim lain dengan alasan Mohd Nazlan mungkin bersikap berat sebelah.

Tengku Adnan, melalui peguamnya Datuk Tan Hock Chuan, berkata, Mohd Nazlan harus menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon, yang mengaku bersalah atas tuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Tengku Adnan dan dijatuhi hukuman denda RM1.5 juta.

Ahli Parlimen Putrajaya berusia 69 tahun itu menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada Eng Boon yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank beliau sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menambah nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima RM1 juta untuk dirinya daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau tahu bahawa Eng Boon, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Julia Ibrahim mewakili pendakwaan. - Bernama