Lebih 400 hektar kebun durian diusahakan di Jelebu

Bakri (dua dari kiri) menjamu pengamal media dengan durian di Kampung Parit Gong, Simpang Pertang hari ini.
Bakri (dua dari kiri) menjamu pengamal media dengan durian di Kampung Parit Gong, Simpang Pertang hari ini.
A
A
A

JELEBU - Sebanyak 404.69 hektar tanaman durian baharu diusahakan di Jelebu sebagai produk agro pelancongan di Negeri Sembilan.

Exco Pertanian Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, pokok berkenaan dijangka memberikan hasil dalam tempoh antara dua ke tiga tahun lagi dan turut berpotensi dieksport.

"Saya difahamkan kebun durian yang baharu ini ditanam kebanyakannya durian musang king iaitu sebanyak 8,000 pokok, 1,000 pokok black thorn dan 1,000 lagi jenis lain-lain.

"Menariknya musim durian di sini kerana ia berlaku antara dua ke tiga kali setahun bergantung kepada penjagaan pokok," katanya pada program Makan Durian Bersama Media di Kampung Parit Gong, Simpang Pertang di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengusaha atau pemilik kebun durian boleh berdaftar dengan Jabatan Pertanian daerah bagi membolehkan bantuan diberi selain dipromosikan bagi tujuan menarik pelancong terutama peminat raja buah.

Jelas Bakri, berdasarkan rekod terdapat kira-kira 500 pemilik kebun durian yang telah berdaftar melibatkan keluasan antara 404.69 ke 607.03 hektar.

"Kita nak mereka berdaftar dengan Jabatan Pertanian supaya kita dapat bantu, mana yang pokoknya tidak produktif hasilkan buah, kita boleh buat tunas dewasa supaya hasilnya lebih berkualiti.

"Sebenarnya di Negeri Sembilan, daerah Jelebu mempunyai kebun durian paling banyak, tapi ramai yang bertumpu di kawasan Mantin di Seremban untuk beli durian kerana lokasinya yang dekat dengan Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu sekarang kita nak promosi durian Jelebu kerana ia antara yang terbaik," katanya.