MH17: Enam tahun menanti keadilan ditegakkan

Pesawat malang MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 orang termasuk 15 anak kapal. - Foto Reuters
Pesawat malang MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 orang termasuk 15 anak kapal. - Foto Reuters
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam tahun berlalu, waris penumpang serta kru penerbangan Malaysia Airlines MH17 masih menunggu keadilan ditegakkan.

Sejak pesawat malang itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan kesemua 298 orang termasuk 15 anak kapal, satu persoalan kekal bermain dalam fikiran, kenapa insiden tersebut berlaku?

Media antarabangsa melaporkan selepas hampir enam tahun siasatan dijalankan penyiasat antarabangsa, empat tertuduh dibicarakan pada Mac lepas, iaitu tiga warga Rusia iaitu Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko dengan kesemuanya masih bebas.

Perbicaraan itu yang ditangguhkan hingga 31 Ogos ini bagi memberi masa kepada hakim untuk mendengar keterangan lebih ramai saksi selain memberi peluang pasukan pembelaan bertemu dengan Pulatov, iaitu satu-satunya tertuduh yang melantik pasukan pembelaan sementara yang lain dibicarakan tanpa hadiran (in absentia).

Setakat ini, peguam Pulatov berkata, mereka tidak dapat bertemu dengan lelaki itu secara bersemuka dan berkongsi perincian siasatan berikutan sekatan untuk mengekang penularan Covid-19 menghalang mereka ke tempat tinggalnya di Rusia.

Mengulas perkara itu, pakar penerbangan, Profesor Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian memberitahu Bernama, perbicaraan MH17 yang sedang berjalan akan menjadi platform bagi Malaysia memperoleh maklumat lanjut mengenai tragedi tersebut.

Juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, empat suspek tersebut berjaya meyakinkan hakim perbicaraan untuk membenarkan beberapa teori dibentang dan diteliti semasa perbicaraan yang akan memberikan sedikit gambaran tentang perkara sebenar kepada waris.

“Perbicaraan itu dilihat mengambil pendekatan berdaya maju dengan mengambil kira aspek teknikal, keterangan saksi kejadian selain beberapa simulasi telah dilaksanakan bagi menggambarkan tragedi.

Artikel Berkaitan:

“Pendekatan ini harus dikekalkan demi kepentingan kita dan juga waris, dan jika tertuduh didapati bersalah, hukuman perlu dijatuhkan dengan kehadiran mereka di mahkamah bukan secara absentia,” katanya.

MH17 dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ketika ditembak jatuh berdekatan Torez di Donetsk Oblast, Ukraine kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 orang yang menaiki pesawat itu, merangkumi 43 rakyat Malaysia, 193 warga Belanda dan 27 rakyat Australia.

Sementara itu, pensyarah kejuruteraan angkasa Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ir Dr Kamarul Arifin Ahmad berpendapat, tragedi tersebut memerlukan penamat dan pelaku harus dihukum sewajarnya.

“Malaysia telah mengambil langkah yang diperlukan, (sekarang) cuma perlu memantau perbicaraan yang sedang berlangsung,” katanya.

Seorang lagi pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Tun Mohd Haniff berharap, perbicaraan itu akan mendedahkan lebih banyak maklumat berhubung saat-saat akhir pesawat malang tersebut.

“Saya tidak fikir perbicaraan itu akan memberi penamat. Situasi tidak menunjukkan tertuduh-tertuduh terbabit, kecuali warga Ukraine Leonid Kharchencko akan diserahkan untuk diadili.

“Satu-satunya cara ialah negara-negara Barat mengenakan tekanan politik dan ekonomi ke atas Rusia untuk menyerahkan rakyatnya yang didakwa sebagai pelaku. Bagaimanapun, melihat pada dasar Rusia, perkara itu adalah mustahil,” katanya.

Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia itu berkata, Malaysia juga tidak mungkin menjejaskan hubungan dengan Rusia. - Bernama