Waris rampas, buang peti jenazah Covid-19

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia membuang peti jenazah kerana enggan mangsa dikebumikan mengikut protokol Covid-19.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia membuang peti jenazah kerana enggan mangsa dikebumikan mengikut protokol Covid-19.
A
A
A

SURABAYA - Kejadian penduduk merampas peti jenazah pesakit Covid-19 daripada petugas barisan hadapan semakin menjadi-jadi di Indonesia ketika republik itu merekodkan lebih 83,000 kes di seluruh negara.

Dalam kejadian terbaharu di Surabaya semalam, waris kepada seorang pesakit Covid-19 yang meninggal dunia bertindak agresif apabila merampas peti dan mengeluarkan jenazah untuk dikebumikan tanpa mengikut protokol kesihatan.

Situasi itu menimbulkan reaksi marah dan kecewa pihak berkuasa kesihatan yang mahu polis bertindak segera menahan individu terlibat dalam kejadian di Kabupaten Pasuruan kerana perbuatan itu meningkatkan lagi risiko penularan wabak.

"Kami berharap masyarakat ada kesedaran tinggi mengenai risiko virus ini. Hasil ujian swab menunjukkan pesakit positif Covid-19," kata jurucakap pasukan bertindak Covid-19, Anang Saiful Wijaya hari ini.

Terdahulu, pesakit berusia 29 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital kelmarin sebelum dibawa ke Desa Rowogempol untuk solat jenazah di masjid.

Ketika upacara pengebumian berlangsung, waris keluarga bertindak merampas peti jenazah dan tidak mengizinkan mangsa dikebumikan mengikut protokol Covid-19. - Agensi

Artikel Berkaitan: