Kerajaan perlu teruskan urus tadbir telus program BMB

Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk meneruskan ketelusan urus tadbir membabitkan pengurusan program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di Kementerian Pendidikan (KPM) susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3 Tahun 2018 yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara pada 14 Julai lalu.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, peruntukan yang disalurkan bagi program BMB di sekolah asrama bagi tahun 2016 hingga 2018 itu berjumlah RM3.667 bilion.

Menurutnya, ia merupakan jumlah yang besar, yang mana diambil daripada wang cukai rakyat untuk dipulangkan kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, soal selidik audit bagi aspek tahap kepuasan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan BMB menunjukkan tahap ketidakpuasan hati yang masih belum mencapai objektif program itu pada tahun 2016 hingga 2018.

"Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) masuk pada Mei 2018, saya selaku Menteri Pendidikan pada masa itu memulakan beberapa siri siasatan terhadap isu yang melibatkan tender KPM seperti Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), Kawalan Keselamatan (PKK) serta BMB ini.

"Kita dapati pihak KPM tidak membuat pengesahan salinan penyata bank yang dikemukakan petender dengan pihak bank sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan. Keadaan itu menyebabkan berlakunya pemalsuan penyata bank oleh petender.

"Hasil siasatan tersebut, beberapa langkah pantas terpaksa diambil untuk menambah baik proses tender, di mana sebanyak 406 tender KBK, PKK dan BMB dibatalkan pada hujung 2018 melalui empat notis bertarikh 8 Ogos 2018, 21 September 2018 serta 5 Oktober 2018," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semakan pemalsuan penyata bank sehingga 31 Januari 2020.
Semakan pemalsuan penyata bank sehingga 31 Januari 2020.

Artikel Berkaitan:

Maszlee berkata, malah laporan polis sudah dibuat oleh Setiausaha Bahagian Perolehan KPM pada 14 Ogos 2019 terhadap petender yang disahkan mengemukakan penyata bank palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Beliau berkata, seperti dilaporkan di dalam LKAN, wakil bank juga menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk membuat pengesahan penyata bank dengan jumlah yang banyak dalam tempoh masa yang singkat dan ini menunjukkan KPM ketika era PH sangat serius menangani isu tersebut.

"Semua usaha yang dilaksanakan menunjukkan komitmen kerajaan PH untuk menyelesaikan beban isu korupsi di era Barisan Nasional (BN) dan ketika semua usaha itu dilakukan, saya sebagai Menteri Pendidikan pada ketika itu kerap kali dianggap mengganggu proses tender.

"Sedangkan usaha itu terpaksa dilakukan untuk memastikan proses tender yang selama ini dicemari dengan pelbagai korupsi dijalankan secara telus dan bersih.

"Sebenarnya, lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan keseluruhan ekosistem berkaitan tender KPM ini dibersihkan dan saya berharap kerajaan PN mengambil berat Laporan Ketua Audit Negara ini dan meneruskan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini," katanya.

Trend prestasi kontraktor bagi tempoh tahun 2016 hingga 2018.
Trend prestasi kontraktor bagi tempoh tahun 2016 hingga 2018.

Tegasnya, kerajaan dari tahun 2016 hingga 2018 adalah kerajaan BN dan mereka yang ditegur di dalam LKAN 2018 Siri 3 ini terutamanya menteri pada ketika itu haruslah bertanggungjawab.

Katanya, beliau yakin, rakyat tetap mengharapkan urus tadbir kerajaan dijalankan secara telus dan bersih dari segenap segi, malah gangguan-gangguan oleh 'tangan-tangan jahat' seperti yang dilaporkan bukan sahaja memberi kesan kepada imej kerajaan tetapi juga kepada pendidikan anak-anak di sekolah.