Noh bantu lapan mangsa ribut di Tanjong Karang

Noh menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Azizah.
Noh menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Azizah.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengagihkan bantuan baik pulih kepada lapan rumah yang rosak akibat ribut yang melanda beberapa kawasan di Tanjong Karang.

Noh berkata, bantuan baik pulih itu dalam anggaran RM5,000 hingga RM6,000 sebuah rumah dengan bantuan awal telah disalurkan pada hari kejadian.

Menurutnya, pihaknya telah melantik sebuah kedai menjual barangan binaan bagi membekal dan membaik pulih rumah mangsa ribut.

"Pemilik rumah boleh datang ke kedai terbabit untuk mengganti kerosakan rumah dan pihak kami akan membayar dengan kos tertentu bergantung kepada kerosakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di lapan rumah mangsa ribut di sini hari ini.

Noh berkata, beliau juga akan menyalurkan peruntukan penyediaan menambak tanah kepada sebuah rumah di Blok P Sawah Sempadan yang ranap akibat ditimpa pokok berusia ratusan tahun.

Katanya, pemilik rumah terbabit ketika ini terpaksa dipindahkan sementara di sebuah inap desa yang dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Katanya, LZS telah bersetuju untuk membina sebuah rumah baharu kepada keluarga terbabit tetapi penyediaan tapak perlu disediakan pemilik kediaman.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kami akan membantu menyediakan penambakan tanah di kawasan ini agar keluarga ini dapat menduduki kediaman lebih selesa dan selamat," katanya.

Sementara itu, mangsa ribut, Azizah Ahmad, 52, bersyukur apabila tiga ahli keluarganya yang berada di dalam rumah selamat dalam kejadian yang mengakibatkan sebahagian kediamannya musnah dan ranap akibat ditimpa pokok pada Ahad lalu.

Katanya, dia berterima kasih kepada Noh yang menghulurkan bantuan dan sudi meluangkan masa menziarahi mereka sekeluarga.