Empat kluster baharu Covid-19 dikenal pasti

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan ialah Kluster Pesakit Bawah Pemantauan (PUI) Pitakwa, Kluster PUI Shirala, Kluster Pusat Perubatan Kuching dan Kluster Jupiter.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kluster PUI Pitakwa bermula apabila kes indeks (kes yang 8,737) yang pulang dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

"Saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) negatif, namun mula bergejala teruk selepas tiga hari kemudian.

"Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu selepas disahkan positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 44 kontak rapat telah dikenal pasti termasuk ahli keluarga, penumpang dan kru pesawat, pemandu teksi serta rakan sekerja.

"Daripada jumlah itu, dua kes disahkan positif, manakala tiga negatif dan 39 masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, kes indeks Kluster PUI Shirala merupakan profesional warga asing yang tiba di negara ini pada 6 Julai lalu atas urusan kerja.

Artikel Berkaitan:

"Lima hari selepas ketibaan, dia membuat ujian saringan setelah bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Dua kontak rapat telah dikenal pasti dan salah seorang daripadanya turut disahkan positif Covid-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kluster Petugas Perubatan Kuching melibatkan kes indeks seorang jururawat yang terdedah kepada pesakit Covid-19 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Setakat ini, salah seorang rakan sekerja jururawat tersebut disahkan positif daripada 26 kontak rapat yang dikenal pasti," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jupiter bermula apabila kes indeks yang merupakan warga asing bekerja sebagai kru kapal.

"Kapal mempunyai sejarah belayar ke Jepun dan Singapura," katanya.

Menurutnya, pesakit tersebut mula mengalami bergejala pada 3 Julai lalu dan ia semakin teruk pada 11 Julai lalu ketika berada di perairan Sarawak.

"Dia dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan Covid-19 didapati positif sebelum dipindahkan ke Hospital Bintulu, Sarawak," katanya.

Susulan itu, katanya, seramai 29 kontak rapat telah dikenal pasti di dalam kapal tersebut di mana kesemuanya adalah merupakan kru kapal.

"Daripada jumlah itu, dua dikesan positif Covid-19, manakala 27 dikesan negatif," katanya.