Raja Thai tandatangani dekri luluskan pilihan raya

Pilihan raya tersebut dijangka diadakan sebelum pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn pada Mei depan.
A
A

BANGKOK - THAILAND. Raja Thailand telah mengeluarkan dekri diraja mengesahkan pilihan raya umum pertama sejak rampasan kuasa yang menggulingkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra pada 2014, menurut jurucakap istana pada Rabu.

Dekri diterbitkan Warta Kerajaan meminta pemilihan ahli Parlimen dan memberi tempoh lima hari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengumumkan tarikh akan berlangsung pilihan raya tersebut.

Sebelum ini, junta memaklumkan pemilihan tersebut akan diadakan pada akhir Februari, namun ia mungkin ditangguhkan kepada beberapa minggu lagi kerana dekri tersebut baru ditandatangani Raja Maha Vajiralongkorn atau Rama X.

Dekri itu bermakna kempen pilihan raya sudah boleh bermula secara rasmi walaupun beberapa parti yang mempunyai kaitan dengan Shinawatra telah mula mengadakan mesyuarat dan merekrut anggota baharu.

Sementara itu, penganalisis memberitahu tentera cuba untuk kembali memegang kerajaan menerusi parti proksi dengan Prayut Chan-o-Cha memegang peranan pemimpin awam selepas pilihan raya tersebut. - AFP