Suami tampar, acu parang di leher isteri ditahan

Gambar hiasan - Foto Sumber Internet
Gambar hiasan - Foto Sumber Internet
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki bukan sahaja tergamak menampar malah sanggup mengacukan sebilah parang di leher isterinya dalam kejadian di rumahnya di Taman Samudera, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu berlaku pertengkaran antara mangsa berusia 30 tahun dengan suaminya.

“Suami mangsa telah bertindak merampas telefon bimbit sebelum menampar muka isterinya.

“Kemudian, suami mangsa telah masuk ke dapur lalu mengambil sebilah parang dan bertindak mengacukannya di leher isterinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan kemudian telah membuat laporan polis setelah suaminya keluar rumah.

Katanya, bertindak atas laporan polis, kira-kira jam 5 petang keesokannya, polis telah menahan suspek di kawasan Gombak dan merampas sebilah parang yang digunakan dalam kejadian terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.

Artikel Berkaitan: