1MDB: Saksi mengaku tidak teliti kadar faedah AS$1.75 bilion

Shahrol Azra hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selaku saksi kesembilan pendakwaan bagi perbicaraan kes 1MDB.
Shahrol Azra hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selaku saksi kesembilan pendakwaan bagi perbicaraan kes 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mengira kadar faedah yang perlu dibayar oleh syarikat menyamai AS$1.75 bilion.

Saksi kesembilan pendakwaan bagi kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau tidak memeriksa kadar faedah secara terperinci kerana beranggapan kadar 5.75 peratus untuk bon 10 tahun adalah bersesuaian.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes 1MDB.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes 1MDB.

Malah, katanya, kadar itu juga dikatakan mendapat restu daripada ahli lembaga pengarah syarikat sendiri.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohamed yang mewakili Najib hari ini membincangkan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB pada Oktober 2012 dengan menerbitkan bon AS$1.75 bilion bagi mengumpulkan dana perjanjian 1MDB bernilai RM2.75 bilion untuk membeli loji kuasa bebas milik Genting.

Shahrol Azral berkata, kadar faedah berkenaan merupakan cadangan daripada penasihat kewangan 1MDB, Goldman Sachs.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bertanya dengan Goldman Sachs dan peguam 1MDB, Loo Ai Swan (atau lebih dikenali sebagai Jasmine Loo) sama ada ia adalah kadar yang terbaik dapat ditawarkan atau sebaliknya.

Shahrol Azral juga berkata tidak bersetuju apabila Wan Aizuddin mencadangkan beliau sengaja bertindak demikian demi mengaburi ahli lembaga pengarah.

Artikel Berkaitan:

Wan Aizuddin: Datuk bukan sahaja tidak penelitian dokumen bon malah tidak menyatakan International Petroleum Investment Company (IPIC) selaku penjamin.

Dokumen itu adalah membabitkan perjanjian antara 1MDB Energy Langat Limited, Bank of New York Mellon, Bank of New York Mellon S.A dan BNY Mellon Corporate Trustee Services Limited pada 19 Oktober 2012.

Shahrol Azral: Semua dokumen itu disediakan oleh Jasmine Loo. Saya tak selidik sebab dia adalah pakar. Ada masa dia beri keseluruhan dokumen untuk saya baca, tetapi ada masa dia hanya beri halaman untuk saya tandatangan.

Wan Aizuddin: Jadi Datuk hanya baca satu halaman sahaja bagi dokumen melibatkan kadar AS$1.75 bilion tanpa meneliti keseluruhan dokumen?

Shahrol Azral: Bagi dokumen ini, saya dibekalkan keseluruhan dokumen.

Wan Aizuddin: Setuju dengan saya, Datuk selaku CEO ketika itu berkomplot untuk menggelapkan wang dengan Jamine Loo, ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho ahli atau Jho Low; Goldman Sachs; Pengarah Urusan IPIC, Abu Dhabi, Khadem al Qubaisi dan CEO Aabar Investments PJS, Mohamed Badawy al-Husseini.

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ini disambung 3 Ogos depan.

Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan perbicaraan kes akan dilanjutkan sehingga Jun tahun depan.

Ia merupakan pertambahan lapan bulan dari tarikh asal yang dijadualkan berakhir Oktober depan.