Jumlah kenderaan masuk ke Melaka naik mendadak

Mat Kasim
Mat Kasim
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 50,000 hingga 60,000 kenderaan direkodkan masuk ke negeri ini sejak awal bulan ini sehingga hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, jumlah itu naik mendadak hampir 80 peratus berbanding hanya 10,000 hingga 20,000 kenderaan yang masuk menghala ke bandar Melaka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu sehingga awal bulan ini.

Menurutnya, beliau menjangkakan jumlah kenderaan terus meningkat terutama hujung minggu memandangkan kebanyakan produk pelancongan sudah mula beroperasi.

Sehubungan itu, katanya, anggota polis ditempatkan di beberapa kawasan bagi mengawal dan membantu penguraian lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong dan pencegahan jenayah.

"Kira-kira 40 polis pelancong masih ditugaskan bagi mengawal kawasan pelancongan serta beberapa anggota turut membantu membuat pemantauan bagi memastikan bandar Melaka bebas daripada sebarang jenayah.

"Menerusi cawangan trafik akan mengadakan Ops Lancar dan turut menempatkan anggota terutama jalan utama menghala ke bandar Melaka agar aliran trafik berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Laili Masduki.

Mat Kasim berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk melancong ke Melaka berikutan negeri ini selamat dilawati apabila indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 27.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Pelancong tidak perlu risau dan saya percaya rakyat Melaka mengalu-alukan kedatangan pelancong bagi meningkatkan semula ekonomi.

"Bagaimanapun, pada masa sama, kita berharap orang ramai masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan penjarakkan sosial," katanya.