Pesawah alami kerugian besar

Sebahagian pesawah menunjukkan kawasan tanaman padi yang diserang PBP pada musim tuaian kali ini.
Sebahagian pesawah menunjukkan kawasan tanaman padi yang diserang PBP pada musim tuaian kali ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Rata-rata pesawah di sekitar kawasan pengairan Parit 6 di sini, berdepan kerugian besar apabila tanaman padi mereka diserang penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Ketua Blok Parit 5, Johari Unit, 60, berkata, tanaman padi diusahakannya seluas 6.3 hektar itu mengalami kemerosotan hasil pada musim tuaian kali ini.

Menurutnya, keadaan itu berpunca akibat serangan penyakit itu yang pertama kali melanda tanaman padi di kawasan itu.

"BPB ini menyebabkan daun dan tangkai pokok padi rosak, terdapat kesan warna bintik perang dan buah padi terencat," katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, dia berdepan kerugian teruk berbanding pada musim sebelumnya.

"Serangan BPB menyebabkan saya hanya memperoleh purata pengeluaran hasil enam tan metrik.

"Kalau tak ada serangan penyakit, hasil pengeluaran lebih tinggi sekitar purata tujuh hingga lapan tan metrik.

"Malah, ada pesawah lain mengadu mereka hanya mampu mengeluarkan hasil satu tan metrik sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Padi yang diserang wabak BPB.
Padi yang diserang wabak BPB.

Katanya, keadaan itu tentunya memberi tekanan kepada pesawah terutama bagi mereka yang bergantung harap kepada punca pendapatan itu bagi menyara keluarga.

Ujarnya, meskipun harga belian padi pada musim ini naik daripada RM1,200 kepada RM1,310, namun keadaan itu tidak membantu pesawah yang berdepan serangan BPB.

"Dulu harga belian padi rendah, tapi bila harga dah naik, padi pula diancam penyakit menyebabkan pengeluaran merosot," katanya.

Napiah Idris, 59, berkata, pesawah merayu agar kerajaan membela nasib pesawah yang mengalami kerugian akibat BPB.

Menurutnya, pesawah pada musim tanaman sebelumnya yang berdepan dengan kerugian akibat serangan penyakit sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya

"Semasa pentadbiran kerajaan BN, nasib pesawah sentiasa terbela dan kita berharap kerajaan PH ambil perhatian serius dan membantu menangani masalah ini," katanya.

Napiah berkata, tanaman padinya seluas 1.2 hektar mengalami penyusutan pengeluaran hasil daripada sembilan tan metrik kepada hanya enam tan metrik pada musim ini.

"Dah tentu keadaan ini memberi tekanan kepada pesawah dan kita harap ada jalan penyelesaian mengatasinya," katanya.

Bagaimanapun seorang pesawah di Parit 2 Timur, Roslan Hashim, 52, berkata, tanaman padinya tidak terjejas teruk.

Katanya, wabak itu dikatakan menyerang di blok pengairan sebelah dalam berbanding di kawasannya.

"Kawasan Parit 2 kurang terjejas jika hendak dibandingkan dengan kawasan tanaman padi di Parit 6 dan Parit 7," katanya.

Sinar Harian pada 23 Disember lalu melaporkan, kira-kira 360 hektar ladang benih padi di kawasan pengairan Sungai Leman di sini, dikhuatiri terjejas berikutan serangan BPB pada musim tuaian kali ini.

Peserta ladang benih padi mendakwa, hasil siasatan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian mengesahkan wabak BPB menyerang ladang benih berkenaan.

#sabakbernam Pesawah alami kerugian besar MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR SUNGAI BESAR - Rata-rata pesawah di sekitar kawasan pengairan Parit 6 di sini, berdepan kerugian besar apabila tanaman padi mereka diserang penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB). Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/9261/EDISI/Selangor-KL/Pesawah-alami-kerugian-besar

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Wednesday, January 23, 2019