SPRM teruskan polisi papar harta ahli Parlimen di laman web

 Datuk Seri Azam Baki
Datuk Seri Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Polisi untuk memaparkan perisytiharan harta anggota Kabinet dan ahli Parlimen menerusi laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, polisi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 itu akan tetap diteruskan dan tidak terhenti sehingga kini.

"Buat masa sekarang SPRM sedang memperbaiki beberapa aspek teknikal sebelum semua maklumat yang diberikan oleh anggota Kabinet sebelum dapat dipaparkan kepada umum.

"Apabila sudah diperbetulkan nanti, kita akan paparkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN - Lima ahli Parlimen PN belum isytihar harta

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat memaklumkan bahawa lima lagi anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) masih belum mengisytiharkan harta yang dimiliki mereka kepada SPRM.

Beliau berkata, anggota Kabinet terbabit telah diberi tempoh selama tiga bulan untuk berbuat demikian selepas mesyuarat sulung Kabinet pada 10 Mac lepas.

Dalam pada itu, Sinar Harian mendapati portal perisytiharan harta iaitu mydeclaration.sprm.gov.my itu ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan usul pengisytiharan harta yang menetapkan semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Artikel Berkaitan:

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja yang akan dipaparkan di portal berkenaan selama tempoh tiga bulan daripada tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.