Pemakaian pelitup muka untuk warga sekolah tidak diwajibkan

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemakaian pelitup separuh muka dalam kalangan warga sekolah adalah tidak diwajibkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebaliknya pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup separuh muka sekiranya terdapat pelajar atau warga kerja yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan.

“Seperti yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan (KPM), pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau cecair pensanitasi tangan dan melakukan saringan gejala dan suhu badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini terdapat kekeliruan kononnya pihak sekolah wajib menyediakan pelitup separuh muka untuk semua murid dan warga kerjanya.

Sementara itu, katanya, seramai 48 individu telah ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana terlibat dalam aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Menyentuh tentang Operasi Benteng pula, Ismail Sabri berkata, lima warga asing ditahan atas kesalahan imigresen semalam.

Beliau berkata seramai 594 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui laluan udara dari Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Kemboja dan Jepun semalam.

“Daripada jumlah itu, 593 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang telah dibawa ke hospital,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: